SELAMAT DATANG KE BLOG


30.4.08

Setiausaha Politik MB Kedah fail petisyen Dun Belantik

ALOR STAR, 29 April (Hrkh) - Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohd. Sanusi Md. Nor hari ini memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-12 yang lalu bagi Dun N.23 Belantik.
Petisyen tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Star melalui firma Taulan Rasul & Co. jam 10.30 pagi tadi.
Pada PRU ke-12 pada 8 Mac yang lalu, Mohd. Sanusi sebagai calon PAS tewas kepada calon BN, Mohd. Tajudin Abdullah dengan majoriti 252 undi.
Tiga nama disenaraikan sebagai defendan dalam petisyen tersebut iaitu Mohd. Tajudin, Suruhanjaya Pilihan raya dan Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Sik.
Mohd Sanusi yang dihubungi menjelaskan terdapat 13 tuntutan yang dikemukakan di dalam petisyen tersebut dan antaranya ialah berkaitan kemasukan 1,031 pengundi pos di Daerah Mengundi Kota Aur yang tidak mengikut peraturan.
Menurutnya, seramai 1,031 pengundi pos tersebut tidak tercatat ketika nama bagi Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku ke 3 tahun 2007 dibuka untuk pameran dan bantahan. Bagaimanapun nama-nama tersebut diwartakan dalam DPT 3 sebagai pengundi pos dan sekaligus digunapakai dalam PRU ke 12.
Peguam Darshan Singh mengetuai pasukan 12 orang peguam yang bakal menghadapi perbicaraan kes ini yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian.
Hari ini adalah hari terakhir bagi mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan PRU yang lalu untuk memfailkan petisyen. Petisyen dibuat dalam masa 21 hari selepas keputusan PRU diwartakan. Keputusan PRU ke-12 diwartakan pada 8 April lalu. - mks.

27.4.08

Sifat tak stabil PM ancam negara - Mahfuz

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Hrkh) - Sifat tidak stabil Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja memangsakan pengikut-pengikutnya malah mengancam keselamatan dan pentadbiran negara.
Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menyatakan perkara itu berikutan apa yang disifatkannya "tindakan tidak tentu arah Abdullah" dalam menjalankan tugasnya.
"Sama seperti kes perlantikan Menteri Besar Perlis, sebelum ini Abdullah berkeras mahu (Datuk Seri) Idris (Jusoh) menjadi Menteri Besar.
Menyusahkan
"Tiba-tiba semalam dilaporkan beliau mengalah pula. Sifat tidak stabil Abdullah itu bukan sahaja menyusahkan pengikutnya malah mengancam pentadbiran dan keselamatan negara," katanya.
Beliau mempersoalkan, adakah Abdullah lansung tidak mempunyai kemampuan untuk menjangkakan apa akan terjadi kepada pengikut-pengikutnya yang dianggap oleh Ketua Umno Bahagian Cheras sebagai "kurang ajar" dan "biadab" kerana menderhaka kepada Sultan.
"Mereka yang menandatangani sokongan kepada Abdullah dan kehendaknya selepas ini akan dilihat sebagai musuh Sultan Terengganu dan musuh rakyat yang kasih kepada baginda. Semuanya berpunca dari sifat tidak stabil Abdullah," katanya.
Pada masa yang sama, katanya, menteri-menteri dan beberapa suruhan bercakap tanpa berfikir" mencabar Sultan manakala Umno pula berkelahi dan ugut-mengugut sesama sendiri.
Siapa percaya?
"Sekejap menyanggah, sekejap mengalah. Siapa mahu percaya Abdullah selepas ini?" tanya Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Akibat sikap Abdullah itu, beliau mempersoalkan, bagaimana pengikut-pengikutnya yang menentang Sultan Mizan Zainal Abidin akan berhadapan dengan baginda yang bukan sahaja Sultan Terengganu malah Yang di-Pertuan Agong.
"Bagaimana mereka yang mengeluarkan kenyataan yang dilihat mempertikaikan keputusan Sultan seperti (Menteri Luar, Datuk Seri) Rais Yatim dan (Peguam Negara, Tan Sri Abdul) Gani (Patail) akan berhadapan dengan baginda? Malah, Gani telahpun dilaporkan gagal menghadap Yang di-Pertuan Agong.
"Kesemua itu merosakkan pentadbiran negara dan kesemua itu berpunca dari sifat tidak berprinsip dan tidak stabil Abdullah," katanya.
Ancam keselamatan
Lebih dari itu, seorang Perdana Menteri yang tidak dilihat cerdik ditambah pula tunjuk-tunjuk perasaan penyokong beliau dan Idris mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
"Tunjuk perasaan mereka bukannya perhimpunan menuntut harga minyak dan tol dikurangkan atau perhimpunan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
"Tunjuk perasaan mereka yang mengundang kemarahan rakyat itu adalah tunjuk perasaan menunjuk samseng kepada Sultan yang disifatkan kurang ajar dan biadab oleh tokoh Umno sendiri," kata beliau mengenai tunjuk perasaan para pengikut Idris di Kuala Terengganu.
"Siapa boleh jamin tindakan-tindakan itu tidak mengancam keselamatan negara?
"Bagaimana kalau rakyat yang kasih kepada Sultan bertindak balas atau rakyat dari bangsa lain pula menunjuk perasaan dan bertindak samseng mencabar istana," katanya lagi.
Apa yang berlaku itu mengukuhkan lagi keyakinan bahawa Abdullah yang sangat lemah tidak layak menjadi Perdana Menteri dan mesti berundutr tanpa bertangguh lagi, katanya.

24.4.08

Harapan Rakyat Kedah dan Sabar....

Kemenangan Barisan Rakyat di Kedah sesuatu yang terlalu besar buat majoriti rakyat kedah. Pastinya kepada ahli dan penyokong PAS suatu penantian yang panjang. Kepada rakyat yang membuat perubahan dalam pilihanraya kali ini, PAS dan BR adalah alternative kepada segala kegawatan yang dihadapi. Mungkin kepada penyokong BN suatu kejutan dan cukup suspen untuk melihat suatu pembahruan yang mungkin boleh mehilangkan UMNO/BN pada peta politik Kedah atau ada juga yang merasa lega agar PAS/BR dapat melakukan sesuatu yang mereka pun cukup jemu selama ini terhadap kebobrokan UMNO/BN, agar dapat menjadi suatu pengajaran kepada pemimpin mereka.
Nyatanya rakyat Kedah meletakkan sebuah harapan yang terlalu besar kepada kejayaan rakyat pada 8 mac 2008 yang lalu. Sejak 9 mac bermula kuasa rakyat. Saya mula menerima aduan hingga ke hari ini. Panggilan telefon dan sms peringkat awal sehingga tak terjawab. Yang `call’ kata awat YB tak jawab telefon, yang jumpa kata bila nak boleh sembang ni asyik duk jawab telefon saja… itulah timbunan harapan dan masalah rakyat.
Seperti banyak aduan dan harapan rakyat di blog ini, saya sedaya upaya memahami dan mencari jalan untuk bersama kita keluar dari semua itu. Dalam kebanyakan dialog dan perjumpaan saya mengharapkan semua orang jangan `berhadapan’ dengan saya dan kerajaan baru ini. Saya menyeru untuk kita `bersama’ mencari jalan keluar dengan berada bersama sebaris, bukankah kami yang dipilih ini dipanggil pun sebagai wakil rakyat. Insyallah harapan dan masalah rakyat semua menjadi tanggungjawab kami yang anda pilih.
Dikira dalam tempoh awal ini kita sudah Berjaya! Belum 60 hari rakyat dah melihat kepada masalah perparitan, perumahan, masalah pemngambilan tanah, lampu jalan, bantuan kemiskinan, nasib golongan kurang upaya, penjaja kecil, pasar malam, sampah, maritim, sosial, belia, kemudahan awam, kesihatan dan tak kurang juga yang minta bantuan bayar yuran sekolah, wang untuk perubatan, modal perniagaan, bayaran bil utiliti dan lain-lain. Lebih menarik seminggu dua awal, laporan mengenai keterlibatan si pulan si pulan samada dikalangan orang politik dan kakitangan kerajaan yang terlibat dengan bermacam-macam skandal bertalu-talu datang. Ini tidak akan menjadi perhatian sekiranya proses penting untuk mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat atau kestabilan kuasa belum berjaya diselesaikan.
Tahniah kepada YAB MB atas kejayaan ini. Peringkat nasional pun kita belum dengar rakyat bertanya tentang koridor ekonomi atau benda-benda lain, sebab secara separa sedar rakyat tahu kestabilan kuasa kerajaan pusat di bawah PM Pak Lah bukan sahaja tidak stabil, tapi kerusi PM itu sendiri sudah dirasakan terlalu panas.
Cuma semua yang memimpin harus ingat, PAS/BR ni ada aura. Aura keadilan, mesra rakyat, kebajikan, amanah, bertanggungjawab, Islam, membela rakyat dan golongan bawahan, anti penyelewengan, rasuah, kroni, pembaziran dan lain-lain lagi mesti dipertahan dan disegerakan terjemahannya. Rakyat menanti ini semua selepas merdeka buat kali kedua setelah 50 tahun.
Untuk rakyat saya kira kita perlu bersama dengan perubahan ini, dengan kekuatan keazaman untuk bersama-sama menjadai rakyat yang bertanggung jawab dan bersih. Sikap ini akan membantu mempercepatkan pengisian perubahan ini. Jangan kita bina semula kemungkaran di atas robohnya kemungkaran lalu. Kesabaran dan kerjasama untuk membina semula negeri tercinta ini menjadi tanggungkjawab kita semua.
Jangan semua perkara yang sudah berakar selama ini hendak kita selesaikan dalam tempoh 60 hari ini. Rumah yang kita ambil ini bukan sahaja buruk dan berlubang-lubang, tapi juga ada banyak `hantu’ yang perlu dimasukkan kedalam botol dan dibuang ke laut.
Mungkin Kelantan boleh dijadikan contoh. Masih ingatkah kita? Dulu tv selalu melaporkan air di Kelantan kotor berkeladak untuk diminum. Sekarang mana pergi semua itu? Air Kelantan Sdn. Bhd. dah jadi syarikat pengurusan air yang dihormati. Selepas 4 penggal rakyat Kelantan mendapat skim kifaalah, RM2500.00 hadiah kematian dimana boleh dapat kalau tidak di Kelantan! Isu pembangunan pun dah tak berbunyi. Yang pasti ketelusan kerajaan PAS/BR dan komitmen rakyat di Kedah berserta doa dan munajat kepada Allah insyaallah akan membawa kita kepada `Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’!

Kejutan September ini, ahli Parlimen BN akan sertai Pakatan Rakyat - Anwar

KUALA LUMPUR, 24 April (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan beberapa ahli Parlimen BN Sabah telah membuat keputusan menyertai Pakatan Rakyat selewat-lewatnya pertengahan September ini.
Kata Anwar, apa yang menahan mereka ialah pengaturan masa dan mereka ini belum pun mengangkat sumpah di Parlimen lagi.
Menurut Anwar jika mereka tidak menyertai bulan depan, mungkin dalam bulan berikutnya, Julai atau malah pada Hari Merdeka (31 Ogos).
"Tetapi saya fikir kami tidak akan melewati tempoh itu," ujarnya.
Sementara itu sebuah akhbar pula menyiarkan, kenyataan Anwar yang sama, namun memberikan tarikh yang berbeza, 16 September atau hari ulang tahun pembentukan Malaysia.
Anwar juga mendakwa BN sedang memantau dengan dekat pergerakannya sekarang dan ada kemungkinan akan bertindak keras atau mengugut wakil-wakil parti itu yang ingin berpindah kepada Pakatan Rakyat.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau boleh mengadakan rundingan dengan wakil rakyat BN sama ada di Singapura, Abu Dhabi atau Hong Kong walaupun 'bunyinya seperti bahan lawak'.
Anwar juga dipetik sebagai berkata, pihaknya memerlukan masa untuk mengadakan rundingan dengan parti-parti lain dalam gabungan pembangkang itu sebelum bertindak.
Sementara AFP pula melaporkan, Anwar meramalkan beliau akan menjadi Perdana Menteri 'dalam tempoh tiga tahun ini'.
Katanya, tiada jangka masa jelas tentang tarikh beliau akan menjadi Perdana Menteri tetapi meramalkan tempohnya "tidak sampai tiga tahun lagi".
"(Tetapi) saya bukannya tergesa-gesa," katanya kepada agensi berita antarabangsa itu.
Begitupun akhbar harian semalam melaporkan parti-parti komponen BN di negeri itu menafikan mereka akan melompat parti dan menyertai Pakatan.
Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Dato' Eric Majimbun berkata, desas-desus terdapat wakil parti itu berhasrat melompat parti berkemungkinan besar timbul susulan kelantangan SAPP menyuarakan pandangan kepada pimpinan BN.

Pemuda PAS Kedah gerakkan usaha tarik keahlian baru

KOTA SARANG SEMUT, 16 April (Hrkh) Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) akan menggiatkan usaha untuk menarik golongan muda menyertai PAS melalui kempen keahlian Pemuda.
Menurut Setiausaha DPPNK, Ustaz Mohd Rosli Azmi, pihaknya akan bergerak seiring dengan gelombang penerimaan kepada PAS yang semakin menggalakkan akhir-akhir ini.
Katanya, DPPNK mempunyai sistem pendaftaran sistematik melalui Skim Perlindungan Pemuda (SPP) yang diasaskan sejak tahun 2001. Jelasnya lagi, DPPNK percaya gelombang penerimaan sekarang ini sebagai peluang menambah seramai mungkin keahlian Pemuda.
"Kami akan 'push' (gerakkan) usaha mendaftarkan seramai mungkin keahlian Pemuda. Kita berharap penyertaan golongan muda kepada PAS sebagai ahli Pemuda berdaftar," ujarnya selepas mengadakan mesyuarat antara Jawatankuasa Harian DPPNK dengan Setiausaha dan Pengerusi SPP Kawasan-kawasan di Kompleks PAS Kedah malam tadi.
Sementara itu, Pengerusi SPP Kedah, Ibrahim Sofian menjelaskan bahawa beliau sedang menimbangkan cadangan daripada Jawatankuasa Pemuda kawasan untuk mengadakan sistem pendaftaran secara 'online'.
"Kita sebenarnya sudah bangunkan pangkalan data berkomputer, tetapi kita masih meneliti urusan teknikal dengan Lajnah IT," jelasnya.
Menurut beliau, DPPNK sudahpun memiliki sistem sebaran maklumat secara khidmat pesanan ringkas (SMS). Oleh itu ujarnya, Jawatankuasa Pemuda di peringkat kawasan perlulah memastikan butiran yang lengkap pendaftaran sahaja yang dihantar ke Sekretariat DPPNK di samping mengemas kini nombor telefon bimbit ahli Pemuda.
"Sistem SMS yang kita pakai sekarang sangat berkesan. Lepas ini jaringan hubungan antara Pemuda akan menjadi semakin baik.
"Kita juga berharap (jawatankuasa) pemuda kawasan tidak hanya tumpu mencari keahlian baru tetapi memastikan 'renew' (memperbaharui) ahli lama dengan menjelaskan yuran tahunan," tegasnya.
Untuk rekod, Pemuda Kedah berjaya menghimpunkan 5,000 ahlinya pada Ijtima 5,000 Pemuda (H5K) pada Jun tahun lalu menggunakan sistem tersebut. - mns

11.4.08

GAMBAR TOK GURU HAJI HADI AWANG DIWAD

TOK GURU MENERIMA TETAMU

TUAN GURU BERSAMA YB HUSAM MUSA
TETAMU KELUAR DARI WAD

Penduduk setinggan di Kedah akan dibantu

ALOR STAR, 11 April (Hrkh) - Kerajaan Negeri Kedah menunjukkan teladan dalam menangani penduduk setinggan dan rumah ibadat. Jika sebelum ini negara diselubungi kepiluan warga setinggan yang kediaman mereka dirobohkan termasuk rumah ibadat seperti kuil, tokong dan surau. Sungguhpun benar mereka mendiami tanah kerajaan, namun tindakan pihak berkuasa nyata bersifat menzalimi mereka.
Bahkan, pembangunan sering dijadikan alasan dalam adegan merampas sebuah kehidupan di bawah teduhan yang telah diduduki dan diwarisi oleh beberapa generasi.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak memaklumkan antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan permohonan tanah.
"Tanah-tanah kerajaan yang diduduki lebih 700 setinggan termasuk belasan kuil dan tokong kini perlu berpindah demi membangunkan kawasan berkenaan yang terlibat dengan projek landasan berkembar Keretapi Tanah Melayu (KTM).
"Mereka tidak dihalau sebagaimana yang berlaku di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebaliknya kerajaan negeri pimpinan PAS dan KeADILan akan menimbangkan tanah kediaman atau rumah kos rendah yang bersesuaian," jelasnya.
Malah katanya lagi, kerajaan baru ini akan menzahirkan erti 'Sejahtera' yang dilaungkan selama ini dengan turut memberikan pampasan sebanyak RM 1,000 bagi setiap kediaman tersebut.
"Bahkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300.00 sebulan untuk mereka selama dua tahun sehingga mereka mendapat rumah baru. Inilah antara erti sejahtera, kebajikan dan hak yang pemerintah BN tidak pernah pedulikan selama ini," katanya lagi. - mks.

10.4.08

MB Kedah lantik tiga Ahli Majlis Daerah Pendang

PENDANG, 9 April (Hrkh) - Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak hari ini mengisytiharkan tiga orang Ahli Majlis Daerah Pendang yang baru. -->-->
Pengisytiharan tersebut dibuat pada majlis sempena lawatan kerja beliau ke Daerah Pendang yang diadakan di Wat Siam Paya Mak Insun dekat sini.
Ini merupakan pengumuman pertama oleh kerajaan negeri yang baru selepas memenangi PRU Ke-12 lalu dan setelah seluruh ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan ahli majlis kerajaan tempatan di seluruh Kedah diarah meletakkan jawatan oleh Pengerusi Barisan Nasional Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid minggu lalu.
Mereka yang akan menganggotai Ahli Majlis Daerah Pendang itu ialah Ai Nin Din Num, Kunasegare Anandan dan Tan Heng Huak, masing-masing mewakili kaum Siam, India dan Tionghua.
Menurut Azizan, sepatutnya pelantikan penuh Ahli Majlis Daerah-daerah akan dibuat pada minggu ini bagaimanapun terpaksa ditunda ke minggu hadapan memandangkan terdapat daerah yang belum menghantar penuh senarai tersebut.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Exco-exco Kerajaan Negeri; Ahli Parlimen Pendang, Dr. Hayati Othman; Pegawai Daerah Pendang, Harun Jasin dan Ketua Sami Kedah-Perlis. - mks.

9.4.08

Kerajaan pusat mula mendiskriminasikan lima negeri


KUALA LUMPUR, 9 April (Hrkh) - Tindakan kerajaan pusat yang melancarkan beberapa langkah berbentuk diskriminasi terhadap lima buah negeri yang diterajui kerajaan pakatan rakyat adalah bertujuan untuk menafikan kuasa kerajaan pakatan rakyat. Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Ir Amiruddin Hamzah berkata kerajaan pusat perlu bersifat profesional dalam membentuk hubungan dan kerjasama dengan kerajaan negeri yang diperintah pakatan rakyat.
"Tindakan menyekat sesetengah Adun dan ahli parlimen daripada kerajaan pakatan rakyat membuktikan kerajaan pusat seolah-olah tidak menghormati kehendak rakyat," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Jelasnya, dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya umum ke-12, banyak isu yang mendedahkan kelemahan kerajaan pusat di bawah kepimpinan Umno-BN tidak dapat ditangani lantas mengakibatkan mereka bertindak secara tidak bijak dengan mengalihkannya kepada bentuk sekatan kepada kerajaan pakatan rakyat.
"Rakyat sendiri sedang menyaksikan pelbagai usaha mereka yang mahu menyusahkan kerajaan pakatan rakyat dengan menghalang projek pembangunan dan menghalang rakyat mengadakan pertemuan dengan pemimpin mereka," katanya.
Bahkan,ujarnya sebelum ini pihak sekolah kelolaan kerajaan persekutuan pernah menjemput Ketua Bahagian Umno bagi merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu bapa Guru.
"Sekarang ini, kenapa pula wakil rakyat sah yang dipilih dalam pilihan raya tidak dibenarkan merasmikan program seumpama itu?
"Apakah mereka masih sukar untuk menerima hakikat kekalahan dalam pilihan raya umum lalu yang menjadi tamparan hebat kepada mereka?" ujarnya.
Dalam jangka masa panjang ujarnya, tindakan tersebut akan memakan diri mereka serta merugikan rakyat secara umumnya.
Ditanya mengenai tindakan yang akan dibuat di peringkat beliau terhadap kerajaan pusat, Amiruddin menegaskan bahawa pihaknya hanya mahu menjalinkan kerjasama yang lebih baik demi kebaikan rakyat pada masa akan datang.
"Kita tidak mengamalkan sikap konfrontasi kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak terutamanya rakyat.
"Kepada pihak yang mengamalkan sikap tersebut, saya harap mereka lebih cerdik, ikut kehendak rakyat dan hormatilah hak parti yang dipilih kerajaan untuk mentadbir di sesebuah kawasan," katanya lagi.
Isu mengenai diskriminasi timbul ekoran pembatalan Memorandum Persefahaman (MOU) pelancongan di lima negeri yang ditawan pembangkang.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mengemukakan permintaan yang mahu pihak kementerian Pelancongan mempertimbangkan kembali keputusan membatalkan Mou tersebut.
Semalam, Khalid dan Lim mengkritik serta melahirkan kebimbangan berikutan tindakan Kementerian Pelancongan menamatkan semua Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani dengan kontraktor dan pengusaha pelancongan berkaitan pelaksanaan aktiviti pelancongan di lima negeri yang dikuasai pakatan partiparti pembangkang.
Khalid dan Lim dilaporkan sebagai berkata tindakan Azalina itu bertentangan dengan langkah Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu semua program yang dirancang kerajaan pusat bagi negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat, diteruskan.
Azalina baru-baru ini membuat pengumuman mengenai penamatan MOU berkenaan kerana bimbang strategi dan pelaksanaan pelancongan negara tidak dapat diterima oleh pemimpin di lima kerajaan negeri tersebut.
Beliau lantas berkata, "pembatalan MOU tersebut adalah keputusan daripada kerajaan pusat dan pihak kementerian hanya melaksanakannya. Kita bakal mengguna pakai polisi yang digunakan di Kelantan selama ini." - mks.

8.4.08

Kerajaan Kedah akan perluaskan tanaman padi


KULIM, 8 April (Hrkh) - Kedah tetap menitikberatkan hasil tanaman padi sebagai pengeluaran utama negeri selari dengan gelaran 'Jelapang Padi Malaysia' kata Menteri Besarnya, Ustaz Azizan Abdul Razak. Memandangkan gelaran tersebut sudah sebati dengan jiwa rakyat Kedah yang suka menabur bakti pada tanah, kerajaan Kedah bertekad tidak akan membenarkan lagi tanah sawah ditukar milik kepada perumahan atau perindustrian. Malahan sambungnya, kerajaan akan menambah lagi kawasan sawah agar petani dapat menambah pendapatan sekaligus meningkatkan pengeluaran padi negara pada masa hadapan.
"Kerajaan baru Kedah akan mengekalkan tanaman padi sebagai aset utama negeri walaupun ada pelabur yang membawa peluang lain untuk menambah ekonomi negeri. Kita ucap terima kasih pada pelabur dan kita tidak sia-siakan pelaburan mereka seperti dari Jerman, Korea dan Arab," tegasnya ketika berucap dalam majlis meraikan kemenangan Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrisnan di Stadium Mini Keladi, Kulim semalam.
Menurutnya, 53 peratus beras negara datang dari Kedah maka sebab itu bidang pertanian akan diberikan keutamaan.
Kerajaan katanya, tidak mahu jadi macam Filipina baru-baru ini terpaksa berhadapan dengan isu makanan setelah negara berkenaan beralih arah mengutamakan sektor perindustrian.
"Mengutamakan sektor pertanian tidak rugi sesiapa sebaliknya menguntungkan rakyat sendiri, " ujar beliau di hadapan ribuan hadirin.
Menurut Ustaz Azizan, tidak guna negara maju dengan mempunyai prestasi tinggi dalam bidang perindustrian sedangkan rakyat menderita tidak cukup pemakanan asasi.
Apa guna jelasnya, rakyat kaya dengan kewangan tetapi dalam masa yang sama kehilangan sektor pertanian yang menjadi tonggak utama masyarakat Melayu di kampung-kampung.
"Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri menggalakkan bidang pertanian semasa mula memegang tampuk pemerintahan dulu. Kita harap bidang pertanian ini boleh dipertingkatkan seperti mana slogan 'Pertanian Untuk Perniagaan', " terangnya.
Selain beliau turut berceramah ialah Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrisnan dan Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Profesor Dr. P. Ramasamy. - mks.
Sumber: www.harakahdaily.net

7.4.08

Kerajaan digesa siar secara keseluruhan sidang Dewan Rakyat

ALOR SETAR, 7 April (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menyiarkan secara langsung sesi parlimen mulai sidang akan datang. Katanya, langkah tersebut merupakan langkah awal ke arah untuk mewujudkan satu siaran yang lebih tetap dan kemas untuk menjadi tatapan kepada masyarakat tentang bagaimana bentuk perjalanan perbahasan dalam parlimen di samping mendidik masyarakat untuk keluar dari fahaman politik tradisional.
"Ini sekaligus untuk mendidik rakyat agar dapat menilai ahli-ahli parlimen itu dalam konteks perbahasan bukan hanya pada sudut yang dikatakan dalam konteks orang Melayu contohnya, wakil rakyat hanya dilihat hadir makan kenduri, ziarah orang sakit atau orang mati.
"Mereka tak menilai dari sudut bagaimana penghujahan yang dibawa oleh ahli parlimen yang cuba membentuk rangka dasar masa depa depan negara," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap langkah tersebut tidak hanya berakhir dengan slot setengah jam tapi perlu diadakan slot yang lebih panjang.
"Kena ada slot khas bukan sahaja menyiarkan sesi soalan lisan, sebaliknya perbahasan bajet atau perbahasan titah ucapan Yang DiPertuan Agung membabitkan perbahasan oleh semua ketua parti. Bukan sahaja dari komponen BN tapi juga semua ketua parti dari Pakatan Rakyat.
"Ini untuk memberi rakyat menilai. Bagi saya kalau nak siar keseluruhan sesi parlimen secara langsung kena ada satu saluran khas di tv khusus untuk menyiarkan perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara," katanya yang ditemui di majlis jamuan rakyat anjuran PAS Kawasan Pokok Sena baru-baru ini. -