SELAMAT DATANG KE BLOG


27.6.08

Siumankah Untuk Mengatakan Pas Bekerjasama Dengan Umno

Oleh YB Hj Mahfuz Omar

TIDAK semena-mena bertiup kencang cerita PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerjasama atau pakatan politik, kononnya demi ketuanan politik Melayu.Entah siapa yang memulakannya, tetapi ia telah tersebar luas di blog-blog dan juga berkeliaran dalam sms. Ramai juga peminat politik yang percayakan desas-desus ini kerana mungkin logik juga kalau hendak dicarikan sebab mengapa PAS perlu bekerjasama dengan Umno. Tetapi ramai yang memandang jejek kepada perbuatan ini jika PAS berhasrat demikian.Tidak timbul isu ini benar atau tidak, kerana saya sudah pun menafikan adanya rundingan sulit untuk ‘mengahwinkan’ PAS dengan Umno. Lagipun perkahwinan politik seperti ini mungkin ‘tidak sah’ kerana antara PAS dan Umno memang tidak ‘sekufu’. PAS mempunyai dasar Islam, sedangkan Umno ‘beraqidah’ Islam Hadhari. Jika Umno itu ‘ahli Kitab’ ada juga tendensinya, tetapi dengan Islam Hadhari ini PAS terpaksa menjauhkan diri. Lagipun PAS amat tidak sekufu dengan Umno kerana PAS adalah parti yang masih suci, sedangkan Umno sudah terpalit dengan noda-noda rasuah, politik wang, kronisme, nepotisme dan macam-macam kebejatan yang lain. Ada pihak yang berpandangan supaya PAS tidak harus ‘menjual mahal’ dalam konteks kepentingan politik nasional, tetapi isu yang berbangkit sekarang bukannya kepentingan negara, sebaliknya adalah kepentingan survival politik Umno itu sendiri. Kerjasama ini adalah talian hayat yang amat diharapkan oleh Umno dan sudah tentu mereka sanggup bergolok-gadai untuk memenuhi keperluan PAS demi talian hayat ini. PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam perlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat. Maka ternyatalah 129 ahli-ahli perlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat. PAS akan terus memikul amanah dan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat, dan akan terus memberikan pembelaan kepada rakyat yang ditindas oleh kerajaan BN. Sejarah telah membuktikan bahawa PAS adalah parti yang paling terbuka di negara ini sehingga menjadi parti yang paling banyak menjalin kerjasama politik. Keterbukaan Islam yang didukung oleh PAS diterjemahkan melalui siri-siri kerjasama sama bukan sahaja dengan orang Melayu, bahkan semua kaum. PAS pernah duduk semeja dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), MIC dan Persatuan Ceylonese Malaya dalam National Conference pada 1953, kemudian menyertai National Convention yang turut diserati oleh Umno dan MCA mulai September tahun yang sama. PAS juga berpakat dengan parti-parti kiri ketika memperjuangkan kemerdekaan, sebelum bekerjasama dengan Dato’ Onn dalam pilihan raya 1959. Kerana kerjasama PAS Dato’ Onn menang di Terengganu. PAS juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sosialis Front pada 1959 dan 1964 walaupun pakatan itu dianggotai oleh pendukung sosialis seperti Parti Rakyat, Parti Buruh dan National Convention Party. Selepas krisis politik 1969, PAS telah memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan yang ketika itu sudah disertai oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak, selain PPP dan Gerakan. Pada 1986, PAS bersama tiga parti lain menubuhkan Harakah Keadilan rakyat (HAK), di samping hubungan dengan masyarakat Cina melalui CCC. Kemudian PAS menyertai pula Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008) sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya ini. Inilah keterbukaan PAS! Dengan Umno sendiri, PAS sudah dua kali berpengalaman. Pada 1953, atas usaha keras bapa Perdana Menteri, Ustaz Haji Ahmad Badawi, PAS meninggalkan Dato’ Onn dan National Conference untuk menyertai National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA. Apabila berunding tentang pilihan raya pertama, cadangan PAS untuk membela kepentingan orang Melayu dengan menolak jus soli dalam hak mengundi serta menambahkan wakil ekonomi Melayu dalam Dewan Undangan Persekutuan telah ditolak oleh Umno. Umno bersikap demikian kerana menjaga kepentingan MCA. PAS tidak dapat menerima kerjasama yang membunuh bangsa sendiri, lalu keluar daripada National Convention sebelum 1953 berakhir. Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, PAS memandang kepentingan perpaduan nasional dan survival politik orang Melayu. Walaupun Muktamar Khas PAS meluluskan dengan majoriti mudah – sebagai tanda berat hati PAS – Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dibentuk pada 1973. Kemudian PAS bersama-sama parti lain menubuhkan Barisan Nasional pada 1974. PAS yang mencadangkan nama Perikatan ditukar kepada BN dan simbol dacing itupun dicadang oleh Dato’ Mohd Asri bagi menggantikan Kapal Layar. Tun Ghafar Baba melukiskan simbol dacing itu. Tetapi Umno mengkhianati PAS dengan memainkan peranan untuk melagakan pimpinan PAS di Kelantan, kemudian didaruratkan Kelantan. Akibat darurat itu, PAS kehilangan Kelantan yang dikuasainya sejak 1959. PAS terpaksa menentang usul mendaruratkan Kelantan kerana percaya ada tujuan politik sulit di sebalik undang-undang darurat itu. Tetapi PAS tidak mengkhianati BN dengan keluar dari pakatan itu seperti yang dilakukan oleh PBS pada 1990 dahulu. Sebaliknya, Umno yang mencadangkan supaya PAS disingkirkan pada Disember 1977 dan akhirnya PAS tidak lagi sebulu dengan Umno. Sejak itu, PAS sentiasa ditindas dalam berbagai-bagai isu seperti Pembunuhan Memali, Ops Lalang, Ops Kenari dan lain-lain. Namun, PAS masih bersedia duduk semeja dengan Umno ketika membantah isu nuklear dan isu Palestin kerana kepentingan kemanusiaan. Hari ini apabila Umno sudah tersepit, mereka mencari PAS semula seperti mana Tun Razak lakukan dahulu. Mereka sanggup tawarkan apa sahaja jika PAS bersedia. Tidak cukup dengan itu, dek cemburu oleh kejayaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, mereka melancarkan perang saraf kononnya PAS sedang berunding dengan Umno. Mereka mahu PAS renggan dengan rakan Pakatan Rakyat dan terus menggoda PAS supaya terima sahaja tawaran mereka. PAS sedar tawaran ini bukannya untuk menjayakan matlamat politik PAS, tetapi memberikan nyawa baru kepada Umno yang sudah tidak diyakini lagi oleh rakan-rakan BN mereka. Bila adalah wartawan mengatakan PAS adalah ‘real kingmaker’, Umno merasakan PAS pasti terjerat. PAS tidak akan mengambil sikap demikian walaupun ada pandangan pemerhati politik picisan yang melihat bahawa PAS perlu memanfaatkan peluang ini jika mahu melaksanakan dasar-dasar Islam yang diperjuangkannya. Pemerhati-pemerhati politik ini berpandangan bahawa PAS masih sukar ‘bernafas’ dalam Pakatan Rakyat yang ada DAP ini. Mereka membangkitkan keadaan di Selangor yang lebih ‘mesra kandang babi’ daripada ‘mesra masjid’. Inilah peluang PAS untuk memaksa Umno melaksanakan Islam, kata mereka. Ada kebenarannya. Tetapi kepimpinan PAS melihat bahawa tawaran kerjasama dengan Umno ini tidak akan membawa PAS ke matlamatnya, sebaliknnya menjadi alat untuk memulihkan semula Umno yang sudah parah itu. Pada saya, walaupun banyak perkara yang perlu dirunding dan disepakati oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang memerintah di lima negeri, tetapi semua harus faham umur Kerajaan Pakatan Rakyat baru mencapai 100 hari dan amat memerlukan kesabaran komitmen semua pihak. PAS tetap bersabar dengan karenah rakan-rakan yang baru belajar memerintah dan yakin rakan-rakan Pakatan Rakyat tidak memandang sebelah mata kepada PAS. Kesemua pihak dalam Pakatan Rakyat mestilah boleh menerima dan memberi yang penting semua parti mesti setia sebagai rakan pakatan. Ketiga-tiga parti mesti melihat bahawa setiap antara mereka ada wibawanya yang harus dihormati, dengan itu sahaja pakatan ini boleh dipertahankan. Jika ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat adil sesama senndiri, maka saraf Umno untuk memecahkan pakatan ini akan menjadi seperti menjual buah yang tidak laku dan akhirnya busuk begitu sahaja. Tetapi, jika kita sengaja membiarkan ketidakpuasan hati ahli-ahli dan penyokong-penyokong pakatan di bawah, mungkin mereka akan berubah sikap terhadap pakatan ini. Sebab itu mungkin ada ahli dan penyokong-penyokong bersikap positif dengan desas-desus kerjasama ini. PAS sudah beberapa kali belajar daripada ‘eksploitasi politik’ Umno ini dan adalah mustahil PAS dipatuk pada lubang yang sama sekali lagi. Pimpinan tertinggi PAS sudah bertegas bahawa tidak akan ada rundingan dan kerjasama politik PAS-Umno selagi Umno dengan wajah yang sedia ada. Mursyidul Am PAS sudah bertegas dalam soal ini. Pada masa ini ahli-ahli PAS atau ahli serta penyokong Pakatan Rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah palsu ini. Ia adalah serangan minda untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan masa depan Umno. Pimpinan PAS amat sedar tentang siuman atau tidak untuk menerima kerjasama ini. Kalau kita percayakan khabar angin ini, maka kita seolah-olah tidak siuman sebenarnya, bahkan Umno sendiripun tidak siuman jika terus mewar-warkan berita palsu ini. Bukan PAS namanya jika kita meninggalkan harapan besar rakyat, kerana mengejarkan pangkat dan wang ringgit yang ditaburkan. Lebih tidak siuman jika kagum dengan dunia sehingga melupakan perjuangan panjangnya. Adalah menjadi tanggungjawab PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat yang dibinanya dan ‘memuziumkan’ Umno bersama kebobrokannya.

YB Hj Mahfuz Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
Ketua Penerangan PAS Pusat

18.6.08

Mahkamah putus kerusi DUN Sanglang dikosongkan

KANGAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lalu, dikosongkan selepas mahkamah menerima permohonan petisyen yang dikemukakan bekas calon pilihan raya Pas bagi kerusi berkenaan. Keputusan itu bermakna pilihan raya kecil perlu diadakan untuk memilih wakil rakyat baru kawasan DUN berkenaan. (foto: Ustaz Hashim Jasin - pempetisyen)
Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membuat keputusan itu bagaimanapun menolak permohonan bekas calon Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin supaya mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi kawasan berkenaan.
Zainal Adzam berkata, mahkamah tiada hak untuk mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang kerusi DUN itu kerana Seksyen 35(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk berbuat demikian sudah dimansuhkan pada 2003.
Mahkamah bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menentukan bila pilihan raya kecil akan diadakan. Sebelum ini, ADUN Sanglang, Abdullah Hassan, dari BN memohon supaya mahkamah memerintahkan pilihan raya semula bagi menyelesaikan pertikaian itu manakala Hashim pula mahu beliau diisytiharkan menang.
Hashim diwakili peguam Mohamad Ariff Yusof mengemukakan petisyen pilihan raya mencabar keputusan pilihan raya DUN berkenaan yang diadakan pada 8 Mac lalu dengan asas berlaku kesilapan dalam proses pengiraan undi. Hashim tewas kepada Abdullah dengan perbezaan 149 undi.
Abdullah diwakili peguam K Jegathesan.

11.6.08

Hantar kan pendapat anda.

assalamualaikum, kepada semua pengunjung blog PAS Kawasan Pokok Sena. YB Haji mahfuz Omar, ingin meminta pendapat dan komen dari anda semua tentang kenaikan harga minyak. Yb Hj Mahfuz ingin membentangkan pendapat dan komen anda semua dalam sidang parlimen yang akan datang. kalau ada apa2 pendapat atau komen sila email kan ke:
paskpsena@yahoo.com
@
TEL/FAX ke:
04-7870802.

Terima Kasih.

10.6.08

Harga Minyak Dan Kerajaan Bn Tahi Minyak

KENAIKAN harga bahan api secara mendadak yang diumumkan oleh kerajaan minggu lepas bukan sekadar menggemparkan rakyat, tetapi menimbul persoalan di benak rakyat apakah wajar kenaikan ini berlaku. Semua rakyat tahu tentang kenaikan harga minyak dunia yang sudah melebihi USD130 setong. Tetapi rakyat bertanya bukankah Malaysia adalah pengeluar dan pengeksport minyak yang telah mengaut untung besar kesan kenaikan ini. Sebelum ini pun Menteri Kewangan II pernah menyebutkan tentang rahmat kenaikan harga minyak yang boleh menambahkan pendapatan negara berkali-kali ganda.Yang anehnya, para menteri dan media massa lebih betah memperkatakan kesan-kesan kenaikan subsidi kepada pembangunan negara ekoran kenaikan harga minyak. Menteri Pengajian Tinggi misalnya menggambarkan kepada rakyat bahawa RM800 juta terpaksa dikurangkan daripada peruntukan untuk kementerian tersebut kerana membiayai subsidi. Benar atau tidak itu soal kedua. Yang penting rakyat harus diberitahu bahawa Negara kita mendapat keuntungan berganda daripada kenaikan harga minyak ini. Adakah wajar kita menggambarkan kenaikan ini sebagai satu musibah semata-mata kerana terpaksa menaikkan harga minyak, sedangkan ia patut dilihat sebagai rahmat kerana kita pengeksport minyak yang layak menjual dengan harga lebih murah kesan keuntungan berganda ini.Apabila kerajaan mendakwa penstrukturan semula harga minyak tidak memberikan keuntungan kepada kerajaan, ia adalah satu pembohongan pada siang hari. Rakyat ditipu hidup-hidup. Kerajaan telah mengaut untung yang besar sebagai pengeksport kerana kenaikan harga ini, sedangkan perbelanjaan telah susut dengan pengurang subsidi besar-besaran. Sudah tentu berlaku lebihan pendapatan kerana minyak yang dikeluarkan oleh Malaysia ialah 600,000 tong sehari, manakala penggunaan hanya sekitar 400,000 tong sahaja. Di sini pun sudah ada keuntungan atau lebihan yang dicatat, belum mengambil kira pengurangan subsidi dan perbezaan harga import eksport ekoran perbezaan kualiti minyak. Rakyat harus memahami bahawa minyak yang digunakan di dalam Negara adalah merupakan minyak yang diimpot dari luar Negara yang mana kualitinya rendah dan harganya lebih murah iaitu USD 135 setong berbanding dengan harga minyak yang dikeluarkan oleh Negara kita iaitu USD 145 setong. Hakikat ini telah diakui sendiri oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zetti Akhtar Aziz yang memberitahu bahawa pendapatan Negara akan meningkat antara RM100 juta hingga RM200 juta setahun hasil kenaikan harga minyak sebanyak USD1. Ia turut diakui oleh Menteri Kewangan, Tan Sri Nor Mohd Yaakub. Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana ekonomi negara akan semakin kukuh dan kenaikan ini menjadi rahmat kepada negara kita. Jika kita mengandaikan Negara kita memperolehi tambahan pendapatan RM200 juta di atas kenaikan USD1, maka kenaikan USD60 semenjak kenaikan terakhir harga minyak pada 2006, bermakna kita mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM12 bilion. Sedangkan apa yang berlaku dalam pengstrukturan semula subsidi harga minyak baru-baru ini, kerajaan mendakwa berjaya menjimatkan hampir RM 14 bilion. Ini bermakna kerajaan mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM 26 bilion. Ini membuktikan bahawa Dato’ Shahril Abd Samad berbohong kepada rakyat mengenai kerajaan tidak mendapat keuntungan daripada pengstrukturan semula harga minyak. Kita tidak boleh menerima alasan bahawa dengan mengurangkan subsidi ini kita telah menjimatkan sekitar RM14 bilion, sedangkan penjimatan sebanyak RM4.5 bilion sebelum ini langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat. Tidak ada peningkatan dalam perkhidmatan pengangkutan awam, tetapi yang ada adalah peningkatan kos pengangkutan. Maka, penjimatan kali akan diagihkan kepada sektor mana pula? Apakah benar-benar berbaloi untuk rakyat menambahkan perbelanjaan sehingga 40 peratus untuk petrol sahaja, sedangkan kualiti perkhidmatan tidak bertambah. Kerajaan sebenarnya harus keluar daripada kejumudan pentadbiran mereka bagi mencari satu pendekatan yang boleh menambahkan pendapatan Negara, jika itu menjadi alasan untuk menghapuskan subsidi. Lihatlah apa yang dibuat oleh Iran dan Venezuela yang mengalih transaksi minyak mereka dari USD kepada Euro. Negara dijangka dapat menambah sehingga 15 peratus pendapatan jika transaksi ini dibuat menggunakan euro kerana mata wang Eropah ini lebih kukuh. Mengapa kita harus terus terikat dengan Dollar sedangkan mata wang itu semakin lemah hari ini. Dahulu pemimpin BN menuduh pemimpin PR di Perak tidak tahu mencari wang sebagai pendapatan kerajaan, hari ini kerajaan BN mengambil kesempatan untuk menindas rakyat, bukannya mencari alternatif pandapatan bagi membela kepentingan rakyat. Satu lagi pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan ialah dengan mengenakan cukai durian runtuh ke atas syarikat-syarikat berkaitan cari gali petroleum, khususnya syarikat asing. Pendapatan mereka telah meningkat ekoran kenaikan harga minyak, tetapi rakyat sebagai ‘tuan punya’ minyak semakin menderita. Syarikat asing seperti Shell, Exxon, Ludin, Total dan lain-lain termasuk Petronas patut dikenakan cukai durian runtuh ini apabila harga minyak melepasi satu tahap harga tertentu. Sama ada harga syiling ini ditetapkan mengikut nilai setong atau nilai keluaran, yang penting keuntungan tanpa jangkaan mereka akibat kenaikan harga minyak ini dicukaikan seperti mana cukai durian runtuh dikenakan ke atas minyak sawit dan IPT. Malaysia sudah mengamalkan dasar percukaian ini ke atas minyak sawit dan ITP, maka mengapa ia tidak boleh dilaksanakan ke atas minyak sebagai timbal balik untuk membiayai kos subsidi. Keuntungan ini jika tidak dicukaikan ia akan memberikan manfaat yang besar kepada syarikat asing, sedangkan rakyat sendiri menderita. Adakah kerajaan tidak tergamak untuk mengenakan cukai tambahan ini kerana adanya Amerika Syarikat dan Zionis di belakang syarikat-syarikat tersebut. Jika kita mengandaikan cukai ini dikenakan sebanyak 10 peratus, bermakna negara akan mendapat sebanyak USD 7.8 bilion berdasar keluaran minyak 600,000 tong sehari pada harga USD13 setong. Dengan pendapatan sebanyak itu, kerajaan tidak lagi perlu bimbang untuk membiayai subsidi dan pembangunan negara sekali gus. Bahkan, kerajaan boleh menstrukturkan semula pembelanjaan negara dengan mengurangkan defisit. Mengapa kita takut untuk melakukan satu reformasi terhadap kewangan Negara berasaskan sumber kekayaan yang begitu besar. Kekayaan hasil minyak adalah milik rakyat, dan ia harus ditadbir dengan berkesan supaya rakyat memperoleh manfaatnya, bukannya terpaksa hidup dalam ketakutan setiap kali berlaku kenaikan harga minyak. Kita boleh terima jika harga beras terpaksa naik kerana kita mengimport beras. Tetapi kita adalah pengeksport minyak, maka mengapa rakyat terpaksa membayar lebih untuk membeli minyak. Rakyat telah mendengar empat langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk mengurangkan beban kenaikan harga minyak ini. Antaranya ialah penjimatan perbelanjaan sektor awam dengan mengurangkan pembaziran yang hanya bernilai RM 2 bilion sahaja termasuklah mengurangkan elaun keraian Perdana Menteri dan anggota kabinet. Kita berasa pelik apabila langkah penjimatan dibuat selepas harga minyak dinaikkan. Mengapa penjimatan atau menghapuskan pembaziran ini tidak dibuat lebih awal dan segala kebocoran dalam perbelanjaan kerajaan boleh disalurkan untuk mensubsidi rakyat dan harga minyak tidak perlu dinaikkan. RM 2 bilion penjimatan selepas pengumuman kenaikan harga minyak termasuk pemotongan 10% elaun Perdana Menteri dan kabinet sebenarnya tidak memberikan sebarang kesan kepada meringankan beban rakyat. PM dan anggota kabinet hanya kekurangan 10% daripada pendapatan mereka tetapi rakyat terbeban dengan lebih 40% kesan kenaikan harga minyak. Sedangkan perjalanan harian PM dan anggota kabinet ditanggung sepenuhnya oleh wang rakyat. Dan RM 2 bilion penjimatan yang diumumkan jika dibahagikan dengan 27 juta rakyat Malaysia, rakyat hanya akan memperolehi RM 74 setahun atau 20 sen sehari sedangkan pemimpin negara masih boleh bercuti keluar negara walaupun hanya dihadkan di negara-negara asia sahaja termasuklah ke Mongolia, Jepun, Dubai dan sebagainya, sudah tentunya sejumlah wang rakyat akan dibelanjakan untuk tujuan tersebut. Sepatutnya Perdana Menteri mengumumkan beliau dan semua anggota kabinet tidak layak untuk menerima gaji dan elaun kerana mereka tidak bekerja untuk membangunkan negara dan mengeluarkan rakyat daripada bebanan hidup. Kerajaan juga sewajarnya menghapuskan projek-projek membazir dan menghapuskan tender runding reka dan bina kerana ia melibatkan kos yang besar iaitu hampir sekali ganda daripada kos tender terbuka. Banyak lagi projek-projek membazir dijalankan oleh kerajaan seperti menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Belia Asia (CYC) yang menelan kos hingga RM17 juta, tetapi diakui oleh Menteri Belia dan Sukan serta Presiden FAM sebagai tidak bermanfaat untuk Negara dan pembangunan bola sepak. Begitu juga projek seperti Taman Tamadun Islam di Terengganu yang menelan hampir RM1 bilion. Petronas sendiri membazirkan wangnya dengan banyak untuk orkestra di KLCC, termasuk membelanja sehingga RM3.5 juta sebulan untuk membayar gaji 105 orang pemuzik orchestra yang majoritinya rakyat asing. Maka, bagaimana Petronas boleh bersungut tentang peningkatan kos pengurusannya mencecah 200 peratus, sedangkan pembaziran begitu banyak berlaku. Jika dikaji Laporan Ketua Audit Negara, kita akan dapati begitu banyak pembaziran dalam perbelanjaan awam. Sepatutnya pembaziran ini telah lama diatasi. Kesan kenaikan harga minyak ini memberikan dampak yang besar kepada kuasa beli rakyat. Jika kita mengandaikan setiap rakyat menggunakan 2000 liter petrol setahun dengan pandapatan perkapita sebanyak RM46,080, bermakna rakyat Malaysia yang mengeksport minyak telah menggunakan sejumlah 11.72 peratus pendapatannya hanya untuk membeli petrol sahaja. Berbanding Singapura yang mengimport minyak, berasaskan perkapita setinggi RM156,480, mereka hanya menggunakan 6.65 peratus pendapatan untuk membeli petrol yang berharga RM5 seliter. Di negara pengeluar minyak yang lain seperti Venezuela, rakyat hanya memperuntukan 0.78 peratus daripada pendapatan perkapita untuk membeli petrol. Adakah kerajaan berfikir bahawa dengan duit rebet sebanyak RM625 setahun itu rakyat telah terbela? Bukankah ianya hanya bernilai tidak sampai RM1.70 sehari. RM1.70 itu tidak bermakna bagi pengguna motosikal apatah lagi pengguna kereta yang telah kehilangan kuasa beli berkali ganda, tidak termasuk kos kenaikan barangan dan perkhidmatan lain. Lagipun pembayaran ini hanya sehingga Mac 2009. Yang kita nampak ialah pembayaran rebet ini akan menguntungkan Pos Malaysia sebagai syarikat pembayar kerana mereka boleh meniagakan wang tersebut sebelum pembayaran dibuat. Mengapa Pos Malaysia? Adakah kerana ECM Libra mempunyai kepentingan di dalamnya? Apapun beban yang rakyat tanggung, sepatutnya seluruh rakyat patut berterima kasih kepada sesiapa yang baru menyertai atau menyokong Umno/BN kerana sokongan mereka ini telah menyumbang kepada keyakinan Umno/BN untuk menaikkan harga minyak. Mungkin jika mereka tidak menyokong Umno ketika bekas presidennya pun menarik diri dari Umno, mungkin Umno terpaksa berfikir dua kali untuk menaikkan harga minyak ini. Biarlah ia menjadi pengajaran kepada orang yang menyertai Umno/BN atau bekerjasama dengan Umno/BN atau berhasrat untuk menyertai kerajaan BN bagi menindas rakyat melalui kenaikan harga minyak ini.

YB Tuan Hj Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena

Kenyataan Rasmi Ketua Penerangan Terhadap Fitnah Ke Atas PAS

Sehubungan dengan SMS yang diedarkan oleh pihak tertentu dan laporan dalam laman web yang mendakwa seolah-olah Parti Islam Se-Malaysia PAS telah menghantar satu delegasi perundingan dengan pihak Umno bagi menyertai BN atau membentuk kerajaan campuran. Maka, saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia PAS ingin menafikan sekeras-kerasnya kewujudan perkara tersebut. PAS cukup menyedari bahawa sokongan dan mandat yang kami terima daripada pelbagai golongan pengundi yang merentasi pelbagai kaum, agama dan budaya, adalah untuk kami bersatu dengan parti pembangkang yang lain di atas nama Pakatan Rakyat agar melakukan perubahan, penambahbaikan dan reformasi terhadap pelbagai aspek kehidupan politik dan ekonomi negara agar mengeluarkan rakyat dari kemelut dan krisis berpanjangan. Tentunya PAS, tidak sama-sekali terfikir untuk mengkhianati mandat dan menghakiskan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat. PAS juga amat sedar akan mainan politik dan perang saraf jahat pihak media dan BN dengan cubaan mereka untuk pecah-perintah Pakatan Rakyat serta menyuntik jarum kecurigaan dan kesangsian komponen parti Pakatan Rakyat yang lain, rakyat dan pengundi terhadap kami. PAS bertegas untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan semua kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, serta komited bagi membebaskan cengkaman dan kezaliman kerajaan Umno/BN ke atas rakyat. Paling mutakhir keangkuhan mereka selepas PRU ke 12 ialah menarik balik subsidi bahan bakar petrol dan diesel yang menyebabkan rakyat terus derita akibat penderaan dan kezaliman kerajaan BN. Tindakan ini sekaligus telah mencetuskan impak inflasi serta kesan berantai kepada seluruh produk asasi keperluan hidup termasuk kos pengangkutan dan perkhidmatan. PAS sekali lagi menolak sekeras-kerasnya segala dakwaan jahat BN dan kuncu-kuncunya bagi mengadu-domba dan menyuntik jarum perpecahan di dalam saff Pakatan Rakyat dan serentak cuba memburukkan imej kami di kaca-mata pengundi dan rakyat seluruhnya.
YB Tuan Hj Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena

9.6.08

Minyak naik adalah rahmat kepada Kerajaan, bencana bagi Rakyat - Mahfuz Omar

IPOH, 9 Jun - Semasa berucap dihadapan kira-kira seribu orang di satu majlis ceramah umum di Kampung Tasek Ipoh dibawah anjuran PAS Ipoh Barat semalam, Ketua Penerangan PAS Pusat dan selaku Ahli Parlimen Pokok Sena, YB Hj Mahfuz bin Omar menyifatkan kenaikan harga minyak dipasaran dunia adalah rahmat kepada negara, sebagai pengeksport petroleum dunia, tetapi suatu bencana kepada rakyat, sebagai pengguna tempatan. Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Ketua Pemuda PAS Perak, merangkap Pegawai Pembantu Khas Exco Agama Negeri Perak, Ustaz Norazli Musa. YB Mahfuz mengingatkan para pendukung PAS supaya menjadi cermin kepada Kerajaan Pakatan Rakyat dan bukan sebagai pembodek. "Kita kena perjelaskan kepada orang ramai isu-isu tertentu supaya mereka mengetahui segala krisis yang sedang kita hadapi," kata Mahfuz."Kita kena jelaskan, bahawa kuasa kita tidak mencakupi persoalan tol, pinjaman PTPTN dan minyak petrol atau diesel umapamanya; itu semua adalah dibawah kuasa Kerajaan Pusat dan bukan kerajaan negeri," jelas Mahfuz.Tatkala mengulas tentang kenaikan harga petroleum dunia yang dijangka akan berterusan naik sehingga USD 200 / tong, Mahfudz bertanya :
Cuba bayangkan keuntungan yang Malaysia mampu perolehi sebagai pengeluar minyak yang menghasilkan 650,000 tong sehari, dimana bagi setiap kenaikan USD1, Petronas dapat meraih keuntungan RM200 juta setahun."
"Harga minyak dipasaran kini mencecah USD 138 / tong, iaitu kenaikan USD 58/ tong daripada harga sebelumnya dan kerajaan tidak perlu untuk menaikan harga pasaran minyak dalam negeri sebab keuntunag dari jualan minyaknya dapat memapung kenaikan harga minyak dunia!” dakwaan Mahfuz, dengan merujuk kepada pendedahan fakta daripada Gobenor Bank Negara, Puan Zetty Akhtar dan juga Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Nor."Dengan kenaikan harga minyak dunia, sebenarnya itu adalah satu rahmat kepada Malaysia kerana Kerajaan sebagai pengeksport minyak ia mendapat hasil pulangan yang sangat lumayan dan menguntungkan."
Mengikut Mahfuz lagi, kerajaan BN tidak peka dengan kehidupan rakyat yang cukup terhimpit dengan kenaikan harga barangan keperluan dan gagal menangani rasuah dan menyelesaikan masalah rakyat."Kerajaan BN/Umno telah gagal untuk memahami signal yang rakyat berikan melalui pilihanraya yang baru lalu.Rakyat cuma minta kerajaan 30 sen, diturunkan harga minyak; tetapi tanpa diduga, kerajaan menaikan harga minyak hingga 78 sen tahun ini!" kata Mahfuz.
"Tuan-tuan, puan-puan cuba bayangkan harga barangan yang akan turut naik nanti setelah kenaikan 40% harga minyak dan 50% kenaikan harga servis lori pengangkutan," satu renungan yang dilontarkan oleh Mahfuz bagi renungan kita bersama.Pening apabila kita memikirkannya. Sesungguhnya kerajaan Umno/BN buat orang ramai jadi pening tak sudah

YB Haji Mahfuz Terlibat di dalam kemalangan

"Yb Haji Mahfuz Omar terlibat di dalam kemalangan di lebuhraya ipoh - k.lumpur ( Berhampiran dengan bukit beruntung )pada jam 1 pagi tadi . Beliau dalam perjalanan ke kuala lumpur selepas berceramah di ipoh. Doktor mengesahkan tiada kecederaan serius dan dia ada sedikit mengalami kesakitan di bahagian tulang rusuk , walaubagaimanapun doktor menyarankan supaya dia berehat utk memulihkan keadaan seperti biasa . Doakan kesihatan dan kesejahteraan beliau . Wassalam

3.6.08

Mahkamah wajar tentukan etika akhbar - Mahfuz

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Hrkh) - Kebebasan akhbar di negara ini masih berada di tahap yang begitu mengecewakan malah membimbangkan apabila etikanya disandarkan hanya bergantung kepada persepsi dan tafsiran pihak kerajaan semata-mata tanpa menggunakan saluran undang-undang yang sedia ada.
Ketua Penerangan PAS Haji Mahfuz Omar berkata sewajarnya etika akhbar ini haruslah ditentukan oleh mahkamah dan bukannya atas bidang kuasa pihak kerajaan yang dilihat seolah-olah berkepentingan dalam menyekat kebebasan akhbar di negara ini.
"Sesebuah akhbar dihadkan, dihentikan penerbitan atau tidak diperbaharui permit oleh kerajaan hanya berdasarkan kepada tafsiran sahaja dan bukannya diputuskan oleh mahkamah.
"Sepatutnya akhbar diberi kebebasan maksimun untuk menerbitkan sebarang artikel dan sebarang kecuaian atau ketidak puasahati pembaca atau rakyat amnya mestilah dibawa kemahkamah untuk menetukan sama ada akhbar terbabit beretika atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebntar tadi.
Beliau turut diminta mengulas penerbitan akhbar alternatif seperti Harakah yang sering kali 'dihantui' dan menerima banyak amaran dan kekangan daripada pihak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekaligus membuktikan tahap kebebasan akhbar di negara ini.
"Sepatutnya Harakah atau mana-mana akhbar alternatif diberikan permit untuk terbit secara kerap dan dibiarkan bersaing dengan media arus perdana malah tidak wajar didiskriminasikan.
"Jika ianya disekat, maklumat dan pandangan pihak ketika tidak akan sampai dengan cukup untuk membentuk minda rakyat supaya membuat keputusan secara seimbang," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.
Harakah sebelum ini ditegur KDN berulang kali, di bawah seliaan Ketua Pengarang Ahmad Lutfi pada 29 September 2006 dan 15 Februari 2007, kerana : "menyiarkan artikel-artikel yang tidak seimbang dan berbentuk spekulatif, yang boleh menggugat suasana dan kestabilan politik negara."
"Harakah hanya dibenarkan terbit sekali dalam 15 hari, fungsinya sebagai akhbar sudah tiada," kata Lutfi dalam satu komentarnya sebelum ini.
"KDN memancung kekerapan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, berkuatkuasa Mac 2000, selepas Umno mendapat malu besar dalam pilihan raya November 1999," katanya.
Ahad lalu kira-kira 150 orang terdiri daripada para wartawan, blogger serta kumpulan rakyat prihatin menyertai satu perarakan spontan menyokong kebebasan media dari Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) di Jalan Tangsi ke Dataran Merdeka.
Dalam pada itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Zaid Ibrahim yang turut berada di lokasi tersebut berjanji untuk memberikan komitmennya untuk terus bekerjasama dan mendengar pandangan wartawan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perkara itu bukan di bawah bidangkuasanya. Terdapat empat kementerian lagi yang terlibat dengan akta-akta yang dituntut dihapuskan oleh wartawan, katanya.
"Saya bukannya orang yang tepat untuk bercakap tentang soal ini, dalam program yang akan datang, saya mencadangkan supaya menteri yang tepat dapat dipanggil untuk menjelaskan keadaan. Saya datang hanya untuk mendengar pandangan," katanya.

2.6.08

Pembela lapor polis berhubung laporan akhbar China Press

KUBANG PASU, 29 Mei (Hrkh) - Pertubuhan Belia Bersatu Malaysia atau singkatannya Pembela telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Jitra kelmarin berhubung satu laporan akhbar oleh China Press keluaran 23 Mei mengenai cubaan pihak Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) merobohkan kuil Hindu di Taman Osman Aroff, Jitra. Laporan polis itu memetik laporan daripada akhbar berkenaan yang berbunyi 'Kejadian berlaku apabila Pegawai Penguat kuasa MDKP pergi ke tempat kejadian dengan lori dan jentolak dan apabila sampai ke tempat itu mereka bersedia untuk meroboh kuil Hindu itu dengan mengatakan bahawa mereka menerima arahan daripada Pegawai Daerah dan Menteri Besar (MB) Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak'. Sehubungan itu, Presiden Pembela, Ir. Mohd Jamal Nasir bersama Naib Presidennya, Ooi Jin Taik membuat laporan polis menuntut satu penyiasatan dijalankan terhadap laporan ahkbar berkenaan.
Menurut Pembela, sekiranya dakwaan Pegawai Penguat kuasa itu adalah atas arahan MB Kedah, maka Pembela berharap satu tindakan disiplin atau undang-undang dikenakan kepada pegawai berkenaan kerana telah membuat kenyataan akhbar dengan niat memfitnah MB selaku ketua kerajaan sekali gus melanggar etika selaku penjawat awam iaitu Pegawai Kerajaan Negeri.
Pembela beranggapan bahawa tindakan itu merupakan suatu tindakan untuk memburukkan keperibadian dan imej Ustaz Azizan.
Sebaliknya, jika laporan yang disiarkan oleh akhbar itu palsu, Pembela menuntut supaya suatu pembetulan ke atas laporan itu disiarkan segera dalam tempoh 72 jam daripada laporan polis itu dibuat serta permohonan maaf bertulis kepada MB Kedah.
Pembela merupakan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai oleh 80 ahli, terdiri daripada pelbagai kaum dan profesyen. - mns