SELAMAT DATANG KE BLOG



20.7.08

Muzakarah dengan Dr M dahulu – Mahfuz

KUALA LUMMPUR, 19 Jul (Hrkh) - Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu bermuzakarah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan untuk bermuzakarah dengan PAS, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar.

"Banyak perkara yang belum selesai antara Perdana Menteri dengan Dr Mahathir. Banyak persoalan yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir tidak dijawab oleh Perdana Menteri.

"Selagi perkara itu tidak diselesaikan, Perdana Menteri tidak ada kredibiliti untuk bercakap mengenai perbincangan dengan mana-mana pihak," katanya.

Menurut Mahfuz, walaupun Dr Mahathir berusaha bertemu Perdana Menteri untuk menjernihkan keadaan, apa yang berlaku selepas itu ternyata semakin buruk akibat sikap Perdana Menteri yang enggan menangani pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir.

"Perdana Menteri bukan sahaja tidak mengatasinya (persoalan yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir), jawab pun tidak," kata beliau.

Keengganan Perdana Menteri untuk menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu menyebabkan beliau disyaki tidak berterima kasih dan tidak menghormati orang yang mengangkatnya ke jawatannya kini sebagai Perdana Menteri, kata Mahfuz.

"Jika orang yang melantiknya ke jawatannya sekarang pun tidak dihormatinya, apa jaminan Perdana Menteri boleh menghormati pihak lain?

"Perbincangan atau muzakarah memerlukan rasa hormat antara satu sama lain," kata Mahfuz.

Menurut beliau, bukan sahaja masalah hubungan dengan Dr Mahathir perlu diselesaikan oleh Perdana Menteri, malah beliau perlu menyelesaikan hubungannya dengan mereka yang dipimpinnya.

"Walaupun Perdana Menteri berikrar mahu berundur dan mengharap diberi peluang dua tahun lagi, namun mereka yang dipimpinnya tetap tidak berpuas hati.

"Baru-baru ini, (Naib Presiden Umno, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) berkata, dua tahun terlalu lama. Ketua Pemuda Umno, (Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) dan (Dato') Shahrir (Abdul Samad) pula menolak saranan supaya tidak diadakan pertandingan memandangkan Abdullah sudah hendak berundur sebagai Presiden Umno.

"Kenyataan-kenyataan itu hakikatnya adalah undi tidak percaya kepada Abdullah. Bagaimana hendak berunding dengan orang menghadapi undi tidak percaya?" kata Mahfuz lagi.

Beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih di atas kesediaan untuk bermuzakarah itu._