SELAMAT DATANG KE BLOG


10.6.08

Kenyataan Rasmi Ketua Penerangan Terhadap Fitnah Ke Atas PAS

Sehubungan dengan SMS yang diedarkan oleh pihak tertentu dan laporan dalam laman web yang mendakwa seolah-olah Parti Islam Se-Malaysia PAS telah menghantar satu delegasi perundingan dengan pihak Umno bagi menyertai BN atau membentuk kerajaan campuran. Maka, saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia PAS ingin menafikan sekeras-kerasnya kewujudan perkara tersebut. PAS cukup menyedari bahawa sokongan dan mandat yang kami terima daripada pelbagai golongan pengundi yang merentasi pelbagai kaum, agama dan budaya, adalah untuk kami bersatu dengan parti pembangkang yang lain di atas nama Pakatan Rakyat agar melakukan perubahan, penambahbaikan dan reformasi terhadap pelbagai aspek kehidupan politik dan ekonomi negara agar mengeluarkan rakyat dari kemelut dan krisis berpanjangan. Tentunya PAS, tidak sama-sekali terfikir untuk mengkhianati mandat dan menghakiskan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat. PAS juga amat sedar akan mainan politik dan perang saraf jahat pihak media dan BN dengan cubaan mereka untuk pecah-perintah Pakatan Rakyat serta menyuntik jarum kecurigaan dan kesangsian komponen parti Pakatan Rakyat yang lain, rakyat dan pengundi terhadap kami. PAS bertegas untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan semua kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, serta komited bagi membebaskan cengkaman dan kezaliman kerajaan Umno/BN ke atas rakyat. Paling mutakhir keangkuhan mereka selepas PRU ke 12 ialah menarik balik subsidi bahan bakar petrol dan diesel yang menyebabkan rakyat terus derita akibat penderaan dan kezaliman kerajaan BN. Tindakan ini sekaligus telah mencetuskan impak inflasi serta kesan berantai kepada seluruh produk asasi keperluan hidup termasuk kos pengangkutan dan perkhidmatan. PAS sekali lagi menolak sekeras-kerasnya segala dakwaan jahat BN dan kuncu-kuncunya bagi mengadu-domba dan menyuntik jarum perpecahan di dalam saff Pakatan Rakyat dan serentak cuba memburukkan imej kami di kaca-mata pengundi dan rakyat seluruhnya.
YB Tuan Hj Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena