SELAMAT DATANG KE BLOG


24.12.08

Mahfuz menang lawan Utusan


KUALA LUMPUR, 23 Dis (Hrkh) - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Utusan Melayu Bhd dan bekas ketua pengarangnya membayar RM120,000 kepada ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh pemimpin PAS tersebut.

Mahfuz, selaku plaintif, menfailkan saman itu pada 2001 dengan menamakan ketua pengarang kumpulan akhbar berpengaruh Utusan Malaysia (ketika itu) dan penerbitnya sebagai defendan-defendan.

Beliau mendakwa defendan pertama telah dengan sengaja dan niat jahat membenarkan penerbitan dan percetakan kata-kata yang mengandungi unsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 3 Mac 2001.

Mahfuz mendakwa penerbitan perkataan-perkataan itu menyebabkan dia menanggung malu dan menjejaskan kredibiliti di kalangan masyarakat.

Beliau yang bertindak sebagai Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan mengarahkan defendan meminta maaf serta menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya.

Defendan-defendan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada Mac 2002 pula menyatakan artikel "Demonstrasi Mahfuz isytihar bersama Keadilan" yang disiarkan itu adalah benar dari segi kandungan dan fakta dan menafikan bahawa ia bersifat fitnah.-azm

(Berita lanjut menyusul akhbar Harakah akan datang)_

Ahli Parlimen Pas menang saman fitnah RM120,000


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pas bagi kawasan Pokok Sena, Mahfuz Omar menang saman fitnah terhadap Utusan Melayu Berhad dan diberikan RM120,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini sebagai ganti rugi bagi perkataan fitnah diterbitkan terhadapnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya memutuskan perkataan yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk "Demonstrasi-Mahfuz isytihar bersama Keadilan" pada 4 Mac 2001, adalah fitnah dengan niat untuk mencemarkan reputasi Mahfuz.

"Perkataan itu tidak memenuhi elemen komen yang adil, perkataan yang diterbitkan bukan fakta, bukan komen yang adil kerana ia tidak berasas.
"Perkataan itu juga tidak memenuhi kepentingan awam seperti ditegaskan oleh defendan" katanya dalam penghakiman bertulis.

Katanya, perkataan yang digunakan itu menggambarkan Mahfuz sebagai seseorang yang mempunyai agenda politik dan sedang berusaha menggulingkan kerajaan sedia ada, "yang menyokong keganasan dan paksaan, yang tidak percaya dengan proses demokrasi untuk membawa perubahan dalam kerajaan yang memerintah dan berniat menimbulkan kekacauan dan ketidakstabilan terhadap keharmonian negara.

"Hakikat bahawa plaintif ialah seorang tokoh politik yang lantang bersuara adalah tidak relevan kerana isu yang perlu ditentukan ialah sama ada perkataan itu diungkapkan oleh plaintif.
"Defendan, saya dapati bukan saja gagal memberikan justifikasi bagi penggunaan perkataan itu tetapi juga gagal menunjukkan yang perkataan itu sebenarnya diungkapkan oleh plaintif," katanya.

Berhubung pemberian ganti rugi RM120,000 itu, Hakim Mohd Yazid berkata, beliau memberikan pertimbangan kepada kedudukan plaintif sebagai tokoh politik dan Ahli Parlimen.

2.12.08

Orang Melayu miskin kerana siapa?


Oleh Mahfuz Omar

BRITISH tidak meruntuhkan orang Melayu dengan menjatuhkan Raja-rajanya, tetapi dengan melahirkan pemimpin-pemimpin Melayu yang rakus dan tidak mempunyai jati diri. Maka, selepas Perang Dunia Kedua, lahirlah sekumpulan aristokrat Melayu berpendidikan Barat untuk diserahkan kemerdekaan Tanah Melayu kepada mereka.

Selepas 50 tahun mereka mengambil alih kuasa daripada penjajah, orang Melayu menerima nasib seperti orang India. Yang berbeza hanya orang India dilumpuhkan oleh penjajah, tetapi orang Melayu dibangsatkan oleh anak bangsa sendiri yang menjadi alat kepada penjajah.


Dan memang tidak menghairankan apabila Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati 301,000 keluarga orang Melayu berada pada paras pendapatan kurang daripada RM1,000. Jika satu keluarga mempunyai purata lima orang ahli, maka lebih 1.5 juta orang Melayu menghadapi masalah ini.

Bukankah selepas 13 Mei 1969, telah dibentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membela kaum Bumiputera, tetapi mengapa ia gagal. Orang Melayu terus mengungguli carta kemiskinan, di samping carta masalah sosial juga. Apakah kita tidak sedar selama ini orang Melayu sendiri yang menguasai politik negara dan mereka mempunyai bidang kuasa untuk membela kepentingan orang Melayu?

Nah! Sekarang orang Melayu sesudah 50 tahun di bawah ketiak Umno mereka terus merempat. Yang membesarkan tembolok hanyalah pemimpin Umno dan anak menantu mereka. Orang Melayu yang lain tidak memperoleh apa-apa. Di kalangan pemimpin Umno sendiri mereka lebih ghairah untuk bercakap soal mahu lawan atau tarik diri dalam pemilihan parti, daripada bercakap soal nasib bangsa dan negara. Tidak adapun sungutan yang benar-benar serius terhadap kedudukan orang Melayu sekarang.

Umno lebih berminat untuk mengagihkan kekayaan negara kepada kroni-kroni mereka, tetapi tidak mahu langsung membantu orang-orang Melayu yang miskin. Kalau nampak seperti hendak ditolong pun, ialah kononnya membela orang yang terbiar di negeri yang dikuasai pembangkang.

Sudah berapa banyak projek-projek raksasa diwujudkan untuk kroni, tetapi tidak memberikan manfaat kepada orang Melayu.

Dalam dunia pendidikan yang dianggap jambatan untuk memisahkan orang Melayu daripada kemiskinan, bukan sahaja bahasa Melayu terpinggir, sekolah-sekolah agama milik orang Melayu juga turut menjadi mangsa. Di universiti-universiti awam, sektor-sektor pendidikan yang strategik di fakulti perubatan, undang-undang, perakaunan, ekonomi, kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan dan seumpamanya, jumlah pelajar Melayu amat sedikit berbanding bangsa lain. Orang Melayu lebih banyak ditempatkan di fakulti sastera, pengajian Islam, sains sosial dan sebagainya yang dilihat kurang nilai komersialnya.

Maka orang Melayu sukar untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan ini. Di IPTS seperti MMU yang banyak melahirkan tenaga profesional yang laku di pasaran pekerjaan, hanya 20 peratus sahaja tenaga akademiknya orang Melayu, manakala pelajarnya yang berbangsa Melayu pula hanya sekitar 25 peratus.

Amat jelas sekali bahawa Umno tidak mempunyai komitmen dan tidak serius langsung dalam mengangkat martabat orang Melayu, melainkan retorik kosong sahaja. Orang Melayu jangan terkeliru dengan isu-isu perkauman seperti isu Pengurus Besar PKNS, isu sewa Flat PKNS, isu ladang babi moden atau isu orang bukan Melayu di UiTM, kerana ialah adalah isu kulit sahaja. Yang lebih besar ialah apakah pembelaan kerajaan Umno terhadap orang Melayu atau Bumiputera.

Selama ini, Umno hanya membantu menambahkan kekayaan pemimpin mereka, sehingga ada yang membina banglo lebih besar daripada istana. Mereka bercakap seolah-olah Pakatan Rakyat lebih mengutamakan orang bukan Melayu, tetapi Umno yang mempunyai kuasa yang lebih besar, langsung tidak mempedulikan orang Melayu.

Dalam keadaan seperti ini, dengan kegawatan ekonomi global, maka orang Melayu akan terus tersingkir daripada arus perdana. Orang Melayu paling miskin, paling ramai penagih dadah, paling ramai bermasalah sosial, paling tercorot dalam pendidikan dan sebagainya. Bahkan, kuasa politik orang Melayupun turut terjejas kerana permainan politik Umno.

Jika dalam tempoh 50 tahun sahaja, nasib orang Melayu sudah tidak menentu, bagaimana agaknya orang Melayu 50 tahun akan datang jika Umno terus diberikan kepercayaan. Orang Melayu mesti sedar hakikat ini dan data-data Jabatan Perangkaan itu hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada ratusan masalah lain yang dihadapi sekarang.

Ayuh orang Melayu, membebaskan diri dari Umno, atau terus melayu!

27.11.08

Perutubuhan Peladang sokong pemansuhan duti import baja

Oleh IZWAN ABDUL HALIM

ALOR STAR: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Kedah, Dato' Badri Yunus mengalu-alukan usaha Kerajaan Pusat untuk memansuhkan duti import ke atas baja, racun perosak dan sebagainya bagi meringankan beban para petani.

Pun begitu, beliau kesal kerana wujud unsur penipuan oleh pihak yang diberikan kontrak membekalkan baja organik kepada petani.

"Disarankan agar jenis input (baja dan racun) yang hendak dibekalkan terlebih dahulu dibincangkan dengan para petani untuk mengelakkan input tidak perlu. Contohnya, kami peladang di seluruh negeri Kedah menerima baja organik.


"Difahamkan baja ini sekampit RM25 melalui tander dan sebagainya. Tetapi bila diterima tidak boleh dipakai, ada baja itu habuk sahaja. Perkara ini kerana kerajaan beri kontrak, kontrak-kontrak ini nak cari untung mesti ada unsur penipuan," ujarnya pada Majlis Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah Tahun 2008 yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, di sini 16 November lalu.

Oleh itu, beliau meminta agar Kerajaan Negeri dapat mencari penyelesaian terhadap perkara itu dengan pihak-pihak yang berkenaan.

Tegasnya, pembekalan baja organik itu sepatutnya tidak perlu dikontrakkan kerana di Kedah terdapat dua agansi yang berkeupayaan mengendalikan perkara tersebut iaitu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).


Sumber: Warta Darulaman.blogspot.com

PERTEMUAN REHDA-MB BERJAYA SELESAI ISU KUOTA PERUMAHAN.

Oleh: AMELIA HASHIM

ALOR STAR - Keputusan Kerajaan menambah kuota daripada 30 kepada 50 peratus bagi Bumiputera dalam pembangunan perumahan mendapat persetujuan daripada Persatuan Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kedah/Perlis setelah diadakan perjumpaan dan perbincangan dari hati ke hati dengan Menteri Besar Kedah YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak di Bilik Gerakan Wisma Daril Aman.

"Kerajaan Negeri Kedah tidak ada masalah dengan pihak REHDA setelah kita beri penerangan kepada mereka dan dan mereka bagi cadangan akan beberapa masalah mereka kepada kita.

"Ini hanya masalah mekanisme iaitu jualan rumah kos Bumitputera kalau tidak dibeli. Mereka minta perundingan supaya kerajaan mengadakan perbincangan bersama REHDA secara detail macam mana sekatan-sekatan dan maklumat menanganai kuota," katanya dengan menyatakan kegembiran apabila mendapat laporan unit-unit rumah telah habis dibeli oleh Bumiputera.

Cuma yang menjadi masalah, katanya, rumah-rumah kedai kerana pembeli Bumiputera khususnya orang-orang Melayu tidak berminat. "Mereka merayu supaya Kerajaan Negeri selesaikan masalah ini kerana mereka telah membelanjakan jutaan ringgit," ujarnya.

Untuk menangani masalah ini YAB Dato' Seri Ustaz Azizan berkata, Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Teknikal akan mengkaji dari segi agihan. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri akan sentiasa bersama-sama REHDA membantu pembangunan perumahan di Kedah ini untuk memberi keselesaan kepada semua pihak .

Turut hadir pada perjumpaan itu ialah Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Jawatankuasa REHDA.

KURSUS BAHASA ARAB 2009 (Peringkat Menengah)


Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) sekali lagi akan menganjurkan Kursus Bahasa Arab & al-Quran untuk peringkat Menengah. Kami mempelawa mana-mana individu yang berminat untuk menyertai dan mendaftar dengan kami dengan segera..

Program akan bermula pada 4 Januari hingga 26 Februari 2009 selama 52 hari. Sepanjang kursus, pelajar akan mengikuti kelas bermula jam 8.00 pagi hingga 10 malam dalam 3 sesi. Setiap sesi dijalankan selama 1 hingga 2 jam.

Bagi yang berminat boleh menghubungi terus Ustaz Abdul Ghani bin Haji Abdullah selaku Pemangku Pendaftar dengan SMS nama peserta ke 017-4800965 atau hubungi di talian pejabat 04-7825754 atau faks ke 04-7824070.

Yuran pengajian termasuk penginapan dan makan selama 52 hari hanya RM 580 sahaja. Yuran merangkumi yuran kursus, makan dan penginapan.

Daftar segera tempat adalah terhad!!

Muat turun borang permohonan dilaman Web dibawah dan pos atau faks kan kepada kami seberapa segera

http://www.kidu.com.my

(Pastikan anda mempunyai perisian Adobe Acrobat)


KURSUS BAHASA ARAB 2009 (Peringkat Rendah)


olej Islam Darul Ulum (KIDU) buat kali ketiga akan mengadakan Kursus Bahasa Arab dan Fardhu Ain bagi kategori sekolah rendah berumur 10 hingga 14 tahun.

Program akan bermula pada 14 hingga 31 Disember 2008, selama 18 hari. Sepanjang kursus, pelajar akan mengikuti kelas bermula jam 8.00 pagi hingga 10 malam dalam 3 sesi. Setiap sesi dijalankan selama 1 hingga 2 jam.

Kandungan kursus mengandungi komunikasi dan aktiviti berbahasa Arab di dalam makmal dan menggunakan kemudahan IT.
Di samping itu, penekanan juga diberikan kepada aspek rohani dan bimbingan Fardhu Ain dan al-Quran.

Pelajar akan dibimbing oleh pensyarah KIDU dan fasilitator di kalangan bekas pelajar.

Bagi yang berminat boleh menghubungi terus Ustaz Abdul Ghani bin Haji Abdullah selaku Pemangku Pendaftar dengan SMS nama peserta ke 017-4800965 atau hubungi di talian pejabat 04-7825754 atau faks ke 04-7824070.

Yuran pengajian termasuk penginapan dan makan selama 18 hari hanya RM 250 sahaja.

Daftar segera tempat adalah terhad!!

Muat turun borang permohonan dilaman Web dibawah dan pos atau faks kan kepada kami seberapa segera

http://www.kidu.com.my

(Pastikan anda mempunyai perisian Adobe Acrobat)