SELAMAT DATANG KE BLOG



24.4.08

Kejutan September ini, ahli Parlimen BN akan sertai Pakatan Rakyat - Anwar

KUALA LUMPUR, 24 April (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan beberapa ahli Parlimen BN Sabah telah membuat keputusan menyertai Pakatan Rakyat selewat-lewatnya pertengahan September ini.
Kata Anwar, apa yang menahan mereka ialah pengaturan masa dan mereka ini belum pun mengangkat sumpah di Parlimen lagi.
Menurut Anwar jika mereka tidak menyertai bulan depan, mungkin dalam bulan berikutnya, Julai atau malah pada Hari Merdeka (31 Ogos).
"Tetapi saya fikir kami tidak akan melewati tempoh itu," ujarnya.
Sementara itu sebuah akhbar pula menyiarkan, kenyataan Anwar yang sama, namun memberikan tarikh yang berbeza, 16 September atau hari ulang tahun pembentukan Malaysia.
Anwar juga mendakwa BN sedang memantau dengan dekat pergerakannya sekarang dan ada kemungkinan akan bertindak keras atau mengugut wakil-wakil parti itu yang ingin berpindah kepada Pakatan Rakyat.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau boleh mengadakan rundingan dengan wakil rakyat BN sama ada di Singapura, Abu Dhabi atau Hong Kong walaupun 'bunyinya seperti bahan lawak'.
Anwar juga dipetik sebagai berkata, pihaknya memerlukan masa untuk mengadakan rundingan dengan parti-parti lain dalam gabungan pembangkang itu sebelum bertindak.
Sementara AFP pula melaporkan, Anwar meramalkan beliau akan menjadi Perdana Menteri 'dalam tempoh tiga tahun ini'.
Katanya, tiada jangka masa jelas tentang tarikh beliau akan menjadi Perdana Menteri tetapi meramalkan tempohnya "tidak sampai tiga tahun lagi".
"(Tetapi) saya bukannya tergesa-gesa," katanya kepada agensi berita antarabangsa itu.
Begitupun akhbar harian semalam melaporkan parti-parti komponen BN di negeri itu menafikan mereka akan melompat parti dan menyertai Pakatan.
Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Dato' Eric Majimbun berkata, desas-desus terdapat wakil parti itu berhasrat melompat parti berkemungkinan besar timbul susulan kelantangan SAPP menyuarakan pandangan kepada pimpinan BN.