SELAMAT DATANG KE BLOG



27.4.08

Sifat tak stabil PM ancam negara - Mahfuz

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Hrkh) - Sifat tidak stabil Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja memangsakan pengikut-pengikutnya malah mengancam keselamatan dan pentadbiran negara.
Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menyatakan perkara itu berikutan apa yang disifatkannya "tindakan tidak tentu arah Abdullah" dalam menjalankan tugasnya.
"Sama seperti kes perlantikan Menteri Besar Perlis, sebelum ini Abdullah berkeras mahu (Datuk Seri) Idris (Jusoh) menjadi Menteri Besar.
Menyusahkan
"Tiba-tiba semalam dilaporkan beliau mengalah pula. Sifat tidak stabil Abdullah itu bukan sahaja menyusahkan pengikutnya malah mengancam pentadbiran dan keselamatan negara," katanya.
Beliau mempersoalkan, adakah Abdullah lansung tidak mempunyai kemampuan untuk menjangkakan apa akan terjadi kepada pengikut-pengikutnya yang dianggap oleh Ketua Umno Bahagian Cheras sebagai "kurang ajar" dan "biadab" kerana menderhaka kepada Sultan.
"Mereka yang menandatangani sokongan kepada Abdullah dan kehendaknya selepas ini akan dilihat sebagai musuh Sultan Terengganu dan musuh rakyat yang kasih kepada baginda. Semuanya berpunca dari sifat tidak stabil Abdullah," katanya.
Pada masa yang sama, katanya, menteri-menteri dan beberapa suruhan bercakap tanpa berfikir" mencabar Sultan manakala Umno pula berkelahi dan ugut-mengugut sesama sendiri.
Siapa percaya?
"Sekejap menyanggah, sekejap mengalah. Siapa mahu percaya Abdullah selepas ini?" tanya Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Akibat sikap Abdullah itu, beliau mempersoalkan, bagaimana pengikut-pengikutnya yang menentang Sultan Mizan Zainal Abidin akan berhadapan dengan baginda yang bukan sahaja Sultan Terengganu malah Yang di-Pertuan Agong.
"Bagaimana mereka yang mengeluarkan kenyataan yang dilihat mempertikaikan keputusan Sultan seperti (Menteri Luar, Datuk Seri) Rais Yatim dan (Peguam Negara, Tan Sri Abdul) Gani (Patail) akan berhadapan dengan baginda? Malah, Gani telahpun dilaporkan gagal menghadap Yang di-Pertuan Agong.
"Kesemua itu merosakkan pentadbiran negara dan kesemua itu berpunca dari sifat tidak berprinsip dan tidak stabil Abdullah," katanya.
Ancam keselamatan
Lebih dari itu, seorang Perdana Menteri yang tidak dilihat cerdik ditambah pula tunjuk-tunjuk perasaan penyokong beliau dan Idris mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
"Tunjuk perasaan mereka bukannya perhimpunan menuntut harga minyak dan tol dikurangkan atau perhimpunan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
"Tunjuk perasaan mereka yang mengundang kemarahan rakyat itu adalah tunjuk perasaan menunjuk samseng kepada Sultan yang disifatkan kurang ajar dan biadab oleh tokoh Umno sendiri," kata beliau mengenai tunjuk perasaan para pengikut Idris di Kuala Terengganu.
"Siapa boleh jamin tindakan-tindakan itu tidak mengancam keselamatan negara?
"Bagaimana kalau rakyat yang kasih kepada Sultan bertindak balas atau rakyat dari bangsa lain pula menunjuk perasaan dan bertindak samseng mencabar istana," katanya lagi.
Apa yang berlaku itu mengukuhkan lagi keyakinan bahawa Abdullah yang sangat lemah tidak layak menjadi Perdana Menteri dan mesti berundutr tanpa bertangguh lagi, katanya.