SELAMAT DATANG KE BLOG


23.7.08

Ada niat lain Umno bersungguh mahu bermuzakarah - Nik Aziz

KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS menyamakan tawaran Umno hendak bermuzakarah dengan kisah Masjid Dhirar yang pernah dibina bagi tujuan memecahbelahkan Islam.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, masjid itu dibina bukan untuk penyatuan tetapi untuk menyemai benih perpecahan.
"Kisah Masjid Dhirar bukan dongengan orang terdahulu, tetapi ada di dalam al-Quran sebagaimana dalam Surah At-Taubah di mana terdapat empat niat jahat maksud pembinaan masjid itu iaitu untuk menimbulkan kemudharatan kepada orang-orang mukmin.
"Untuk kekafiran, memecah belah antara orang-orang mukmin dan untuk menunggu kedatangan oang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, suasana itu boleh kita kiaskan bagi membaca niat pemimpin Umno yang sangat beria-ia untuk bermuzakarah dengan pemimpin PAS.
Menurutnya Umno bercakap soal menjaga Islam dan Melayu ini seolah-olah hanya mereka sahaja yang boleh menjaga orang Melayu.
"Dia fikir dia seorangkah yang mengerti dan bertanggungjawab menjaga Islam. Dia sudah lama memegang kerajaan. Boleh jadi, Umno sudah sampai ke peringkat tidak percaya orang lain juga boleh menjaga Islam dan Melayu.
"Sedangkan PAS pun faham dan reti juga dan mungkin lebih reti daripada mereka dalam perkara ini. Jangan Umno fikir ini Islam dan Melayu hak monopoli, hak eksklusif yang menjadi pajakan Umno sahaja," katanya.
Bagaimanapun katanya, kalau perlu juga kepada muzakarah bolehlah difikirkan selepas pilihan raya umum ke-13.
Baru-baru ini media melaporkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendakwa Umno dan PAS sudah mengadakan tiga kali pertemuan membincangkan perkara berkaitan agama dan perpaduan Melayu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan melahirkan rasa bimbang PAS akan dianggap sebagai khianat kepada rakan-rakan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
"Saya cukup kesal. Selaku Mursyidul Am, saya berhak menegur. Ini berasaskan prinsip Wal-Ashr. Dalam semangat demokrasi pun, ini menandakan bahawa masih suburnya proses konsultasi, berbeza atau bersamaan pendapat dalam PAS.
"Pada saya, muzakarah boleh, tetapi atas dasar peribadi dan tidak atas nama parti,"ujarnya.
Kata beliau apa jaminan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat tidak berpecah dengan langkah terlalu ghairah untuk bermuzakarah sesetengah pemimpin
Ini katanya boleh disifatkan sebagai anti perpaduan dan anti kestabilan.
"Contoh telah pun ada pada tahun 1970-an di mana PAS berpecah tiga iaitu Berjasa, Hamim dan Bebas Bersatu. Bagaimanapun, jika diteruskan juga dan berlaku perpecahan.
"Saya tidak mahu memikul tanggungjawab langkah yang saya tidak restu,"kata beliau. - mj/mks. _