SELAMAT DATANG KE BLOG



27.11.08

Perutubuhan Peladang sokong pemansuhan duti import baja

Oleh IZWAN ABDUL HALIM

ALOR STAR: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Kedah, Dato' Badri Yunus mengalu-alukan usaha Kerajaan Pusat untuk memansuhkan duti import ke atas baja, racun perosak dan sebagainya bagi meringankan beban para petani.

Pun begitu, beliau kesal kerana wujud unsur penipuan oleh pihak yang diberikan kontrak membekalkan baja organik kepada petani.

"Disarankan agar jenis input (baja dan racun) yang hendak dibekalkan terlebih dahulu dibincangkan dengan para petani untuk mengelakkan input tidak perlu. Contohnya, kami peladang di seluruh negeri Kedah menerima baja organik.


"Difahamkan baja ini sekampit RM25 melalui tander dan sebagainya. Tetapi bila diterima tidak boleh dipakai, ada baja itu habuk sahaja. Perkara ini kerana kerajaan beri kontrak, kontrak-kontrak ini nak cari untung mesti ada unsur penipuan," ujarnya pada Majlis Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah Tahun 2008 yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, di sini 16 November lalu.

Oleh itu, beliau meminta agar Kerajaan Negeri dapat mencari penyelesaian terhadap perkara itu dengan pihak-pihak yang berkenaan.

Tegasnya, pembekalan baja organik itu sepatutnya tidak perlu dikontrakkan kerana di Kedah terdapat dua agansi yang berkeupayaan mengendalikan perkara tersebut iaitu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).


Sumber: Warta Darulaman.blogspot.com