SELAMAT DATANG KE BLOG



24.12.08

Ahli Parlimen Pas menang saman fitnah RM120,000


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pas bagi kawasan Pokok Sena, Mahfuz Omar menang saman fitnah terhadap Utusan Melayu Berhad dan diberikan RM120,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini sebagai ganti rugi bagi perkataan fitnah diterbitkan terhadapnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya memutuskan perkataan yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk "Demonstrasi-Mahfuz isytihar bersama Keadilan" pada 4 Mac 2001, adalah fitnah dengan niat untuk mencemarkan reputasi Mahfuz.

"Perkataan itu tidak memenuhi elemen komen yang adil, perkataan yang diterbitkan bukan fakta, bukan komen yang adil kerana ia tidak berasas.
"Perkataan itu juga tidak memenuhi kepentingan awam seperti ditegaskan oleh defendan" katanya dalam penghakiman bertulis.

Katanya, perkataan yang digunakan itu menggambarkan Mahfuz sebagai seseorang yang mempunyai agenda politik dan sedang berusaha menggulingkan kerajaan sedia ada, "yang menyokong keganasan dan paksaan, yang tidak percaya dengan proses demokrasi untuk membawa perubahan dalam kerajaan yang memerintah dan berniat menimbulkan kekacauan dan ketidakstabilan terhadap keharmonian negara.

"Hakikat bahawa plaintif ialah seorang tokoh politik yang lantang bersuara adalah tidak relevan kerana isu yang perlu ditentukan ialah sama ada perkataan itu diungkapkan oleh plaintif.
"Defendan, saya dapati bukan saja gagal memberikan justifikasi bagi penggunaan perkataan itu tetapi juga gagal menunjukkan yang perkataan itu sebenarnya diungkapkan oleh plaintif," katanya.

Berhubung pemberian ganti rugi RM120,000 itu, Hakim Mohd Yazid berkata, beliau memberikan pertimbangan kepada kedudukan plaintif sebagai tokoh politik dan Ahli Parlimen.