SELAMAT DATANG KE BLOG



24.12.08

Mahfuz menang lawan Utusan


KUALA LUMPUR, 23 Dis (Hrkh) - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Utusan Melayu Bhd dan bekas ketua pengarangnya membayar RM120,000 kepada ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh pemimpin PAS tersebut.

Mahfuz, selaku plaintif, menfailkan saman itu pada 2001 dengan menamakan ketua pengarang kumpulan akhbar berpengaruh Utusan Malaysia (ketika itu) dan penerbitnya sebagai defendan-defendan.

Beliau mendakwa defendan pertama telah dengan sengaja dan niat jahat membenarkan penerbitan dan percetakan kata-kata yang mengandungi unsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 3 Mac 2001.

Mahfuz mendakwa penerbitan perkataan-perkataan itu menyebabkan dia menanggung malu dan menjejaskan kredibiliti di kalangan masyarakat.

Beliau yang bertindak sebagai Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan mengarahkan defendan meminta maaf serta menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya.

Defendan-defendan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada Mac 2002 pula menyatakan artikel "Demonstrasi Mahfuz isytihar bersama Keadilan" yang disiarkan itu adalah benar dari segi kandungan dan fakta dan menafikan bahawa ia bersifat fitnah.-azm

(Berita lanjut menyusul akhbar Harakah akan datang)_