SELAMAT DATANG KE BLOG


24.4.08

Pemuda PAS Kedah gerakkan usaha tarik keahlian baru

KOTA SARANG SEMUT, 16 April (Hrkh) Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) akan menggiatkan usaha untuk menarik golongan muda menyertai PAS melalui kempen keahlian Pemuda.
Menurut Setiausaha DPPNK, Ustaz Mohd Rosli Azmi, pihaknya akan bergerak seiring dengan gelombang penerimaan kepada PAS yang semakin menggalakkan akhir-akhir ini.
Katanya, DPPNK mempunyai sistem pendaftaran sistematik melalui Skim Perlindungan Pemuda (SPP) yang diasaskan sejak tahun 2001. Jelasnya lagi, DPPNK percaya gelombang penerimaan sekarang ini sebagai peluang menambah seramai mungkin keahlian Pemuda.
"Kami akan 'push' (gerakkan) usaha mendaftarkan seramai mungkin keahlian Pemuda. Kita berharap penyertaan golongan muda kepada PAS sebagai ahli Pemuda berdaftar," ujarnya selepas mengadakan mesyuarat antara Jawatankuasa Harian DPPNK dengan Setiausaha dan Pengerusi SPP Kawasan-kawasan di Kompleks PAS Kedah malam tadi.
Sementara itu, Pengerusi SPP Kedah, Ibrahim Sofian menjelaskan bahawa beliau sedang menimbangkan cadangan daripada Jawatankuasa Pemuda kawasan untuk mengadakan sistem pendaftaran secara 'online'.
"Kita sebenarnya sudah bangunkan pangkalan data berkomputer, tetapi kita masih meneliti urusan teknikal dengan Lajnah IT," jelasnya.
Menurut beliau, DPPNK sudahpun memiliki sistem sebaran maklumat secara khidmat pesanan ringkas (SMS). Oleh itu ujarnya, Jawatankuasa Pemuda di peringkat kawasan perlulah memastikan butiran yang lengkap pendaftaran sahaja yang dihantar ke Sekretariat DPPNK di samping mengemas kini nombor telefon bimbit ahli Pemuda.
"Sistem SMS yang kita pakai sekarang sangat berkesan. Lepas ini jaringan hubungan antara Pemuda akan menjadi semakin baik.
"Kita juga berharap (jawatankuasa) pemuda kawasan tidak hanya tumpu mencari keahlian baru tetapi memastikan 'renew' (memperbaharui) ahli lama dengan menjelaskan yuran tahunan," tegasnya.
Untuk rekod, Pemuda Kedah berjaya menghimpunkan 5,000 ahlinya pada Ijtima 5,000 Pemuda (H5K) pada Jun tahun lalu menggunakan sistem tersebut. - mns