SELAMAT DATANG KE BLOG



11.4.08

Penduduk setinggan di Kedah akan dibantu

ALOR STAR, 11 April (Hrkh) - Kerajaan Negeri Kedah menunjukkan teladan dalam menangani penduduk setinggan dan rumah ibadat. Jika sebelum ini negara diselubungi kepiluan warga setinggan yang kediaman mereka dirobohkan termasuk rumah ibadat seperti kuil, tokong dan surau. Sungguhpun benar mereka mendiami tanah kerajaan, namun tindakan pihak berkuasa nyata bersifat menzalimi mereka.
Bahkan, pembangunan sering dijadikan alasan dalam adegan merampas sebuah kehidupan di bawah teduhan yang telah diduduki dan diwarisi oleh beberapa generasi.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak memaklumkan antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan permohonan tanah.
"Tanah-tanah kerajaan yang diduduki lebih 700 setinggan termasuk belasan kuil dan tokong kini perlu berpindah demi membangunkan kawasan berkenaan yang terlibat dengan projek landasan berkembar Keretapi Tanah Melayu (KTM).
"Mereka tidak dihalau sebagaimana yang berlaku di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebaliknya kerajaan negeri pimpinan PAS dan KeADILan akan menimbangkan tanah kediaman atau rumah kos rendah yang bersesuaian," jelasnya.
Malah katanya lagi, kerajaan baru ini akan menzahirkan erti 'Sejahtera' yang dilaungkan selama ini dengan turut memberikan pampasan sebanyak RM 1,000 bagi setiap kediaman tersebut.
"Bahkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300.00 sebulan untuk mereka selama dua tahun sehingga mereka mendapat rumah baru. Inilah antara erti sejahtera, kebajikan dan hak yang pemerintah BN tidak pernah pedulikan selama ini," katanya lagi. - mks.