KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menyifatkan Pulau Batu Puteh kini sudah menjadi "pulau putih mata".
Ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menolak dakwaan Menteri Luar Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kononnya keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pulau itu sebagai situasi win-win.
"Mana ada win-win?! Kononnya nelayan boleh pergi ke sana. Apa jaminan keselamatan nelayan-nelayan kita? Apa tindakan bila pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas nelayan kita?" beliau mempersoalkan sambil menegaskan isu perairan bukan isu nelayan tetapi isu wilayah negara ini. Mahfuz juga menolak pandangan Menteri Luar kononnya Singapura tidak boleh menambak pasir sesuka hati dengan keputusan ICJ itu.
"Apa jaminan Singapura tak tambak?" soal beliau sambil mengingatkan bahawa Singapura tetap meneruskan kerja-kerja menambak pasir sesuka hatinya walaupun dibantah.
Dewan Rakyat sendiri pernah membincangkan usul untuk membantah tindakan Singapura itu sejak dari tahun 1999 lagi, katanya.
Walaupun beliau tidak mahu menyalahkan Umno atas apa yang berlaku itu, tetapi beliau tetap menyifatkan kehilangan Pulau Batu Puteh berpunca dari kelemahan kerajaan.
"Kelemahan kerajaan adalah kelemahan Umno," kata beliau sambil menekankan bahawa kerajaan diterajui oleh Umno. "Tak ada persediaan yang baik, akhirnya kita malu," katanya lagi.
Mahfuz menuntut kerajaaan bertindak ke atas Peguam Negara "yang gagal menjadi penasihat yang baik kepada kerajaan".