TANJONG DAWAI, 10 Mei - Dewan Pemuda PAS Kawasan Merbok (DPPKM) hari ini melahirkan harapan kepada Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri Kedah agar melaksanakan pembaharuan atau polisi baru berkaitan peraturan papan iklan besar.
Menurut Setiausaha DPPKM, Mohd. Asri Salleh terdapat papan iklan besar atau billboard yang memaparkan imej-imej yang tidak Islamik dan kadang-kadang menjolok mata.
"Lihatlah foto wanita berkemban yang dijadikan model untuk papan iklan oleh sebuah syarikat pemaju perumahan terkenal di Sungai Petani. Kita harap garis panduan yang sesuai bagi mengubah lanskap Negeri Kedah supaya tidak bersubahat dengan penganiayaan dan eksploitasi kaum wanita yang sememangnya menjadi tren kerajaan Barisan Nasional," terangnya.
Katanya, masyarakat telah jemu melihat wanita-wanita 'cantik' diperagakan untuk tujuan yang tidak berkaitan langsung dengan tubuh wanita terbabit.
"Kita juga berharap sekiranya kelak Kerajaan Negeri Kedah berhasrat untuk membawa dan memajukan sukan bermotor di negeri ini agar membuang terus 'gadis litar' yang berpakaian menjolok mata dan tidak langsung menambahkan kelajuan pelumba motor atau kereta yang bertanding, sebaliknya gantikan dengan 'jejaka litar' yang mungkin melambangkan kegagahan," ujarnya sinis.
Menurutnya lagi, pengalaman beliau mengunjungi Kelantan yang diperintah kerajaan PAS mendapati imej wanita bertudung untuk papan iklan digunakan walaupun di negeri lain wajah yang sama tidak sedemikian.
"Jadi sekurang-kurangnya bila model wanita yang hendak digunakan dalam iklan dimestikan memakai tudung, sudah tentulah tiada lagi foto wanita berkemban atau berbikini seperti yang kita pernah lihat sebelum ini," terangnya mengakhiri kenyataan.