KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mendakwa, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak keluar dari Umno, ada desas-desus rakan karibnya, Tan Sri Sanusi Junid juga akan mengikuti langkah bekas ketuanya itu. "Ada kedengaran bahawa Sanusi juga didakwa akan keluar dari Umno mengikut jejak langkah Tun Mahathir. "Tetapi persoalannya kini, misi Tun Mahathir tidak akan sampai ke mana-mana dan gagal jika anaknya, Dato' Mukriz tidak bertindak keluar parti. "Orang akan kata, ini signal kepada kelompok yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk bertindak keluar parti, tetapi orang akan melihat bahawa jika Mukriz tidak bertindak mengikuti jejak ayahnya ia satu usaha yang gagal," kata Mahfuz yang dihubungi Harakahdaily hari ini.
Menurut Mahfuz, Sanusi dan Mukriz adalah antara individu yang cukup kuat duduk di belakang Tun Mahathir sejak dua tahun lalu apabila bekas Perdana Menteri itu mula mengkritik Perdana Menteri. Sementara itu mengulas mengenai tindakan Mahathir mengumumkan keluar Umno, Mahfuz berkata, isu tersebut jangan hanya dilihat sebagai masalah Umno, sebaliknya ia adalah masalah pentadbiran negara.
Ujarnya, krisis kepimpinan negara yang parah hari ini menyebabkan negarawan seperti Tun Mahathir akan melakukan tindakan luar biasa semata-mata untuk membersihkan kepimpinan negara. Meskipun ketika Mahathir memerintah 22 tahun lalu, beliau turut dikaitkan dengan masalah pentadbiran, namun kata Mahfuz kini Mahathir sendiri telah melihat betapa pentingnya masalah itu diperbaiki.
Beliau juga berkata, tindakan Mahathir ini juga tidak boleh dilihat ada kaitan dengan isu Suruhanjaya Video Lingam. Sebaliknya ia adalah kemuncak kepada segala usaha bekas Perdana Menteri itu untuk membetulkan semula pentadbiran negara yang hancur, ujarnya.
Dalam masa yang sama, Mahfuz turut mencadangkan agar Tun Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato' Seri Anwar Ibrahim duduk semeja bagi membincangkan soal kemelut pentadbiran negara hari ini.
"Saya lihat ketiga-tiga tokoh ini semuanya mengkritik kepimpinan Abdullah, justeru apa salahnya mereka melupakan kisah duka antara mereka bertiga dengan duduk semeja membincangkan soal yang lebih penting berhubung kepentingan negara ini," katanya.
Bagi Mahfuz, memang sukar untuk tiga tokoh ini meleraikan sengketa lama, namun atas kepentingan negara hal ini perlu dilihat sebagai satu kebaikan.
"Saya bimbang dengan kemelut pentadbiran negara yang semakin parah ini, hanya akan menyebabkan negara menuju kepada kehancuran," ujarnya.