KUALA LUMPUR, 14 Mei (Hrkh) - Dr Dzulkefly Ahmad (PAS - Kuala Selangor) berkata 'tsunami politik' yang melanda Umno dan Barisan Nasional pada Pilihan raya ke-12 lalu membuatkan rakyat mula memahami bahawa mereka sebenarnya majikan dan 'tuan' dalam sebuah negara demokrasi. Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan titah Yang di-Pertuan Agung di Dewan Rakyat pada 12 Mei lalu. Tegasnya, jika dalam pilihan raya yang lalu, sewaktu beliau dan rakan-rakannya memberi keterangan di atas pentas pembangkang, rakyat seolah-olah tidak memahami apa yan dimaksudkan bahawa mereka adalah bos dan 'tuan' dalam sebuah negara demokrasi.
"Kini rakyat mula mengangkat slogan 'Makkal Sakthi', dan percaya bahawa mereka mempunyai 'kuasa' untuk mengangkat mana-mana pihak menjadi kerajaan dan menurunkan mana-mana parti atau calon yang dipertandingkan sebagai pembangkang.
"Kini bermulanya satu era baru dan politik negara. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh rakyat ini adalah formula dan resepi kemenangan yang akan terus membawa kepada arus kebangkitan rakyat," katanya.
Katanya, rakyat juga telah menghantar mesej yang cukup jelas di seluruh negara bahawa apa yang dilakukan adalah tindakan kemuncak patriotisme dan mezahirkan 'kasih sayang' terhadap tanah air mereka.
"Seorang patriot yang kasih dan cinta kepada negaranya mesti bersedia membela negara," katanya.
Dalam ucapannya Dzulkefly turut menyentuh mengenai taraf ekonomi dalam negara. Katanya, sudah sampai masanya kerajaan menyediakan kehidupan yang lebih baik dan bermaruah kepada rakyat daripada segi peningkatan kualiti hidup, bersesuaian dengan dakwaan Malaysia sudah menghampiri status negara maju.