SELAMAT DATANG KE BLOG



20.11.07

Dilema Kedaulatan Negara: Antara Pulau Batu Putih Dan WPI

Oleh HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

 Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong penuh usaha bersungguh-sungguh kerajaan Malaysia untuk mendapatkan hak kedaulatannya ke atas Pulau Batu Putih melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hegue, Belanda. Perkara ini telah lama dibangkitkan oleh PAS dan pernah beberapa usaha dilakukan oleh PAS untuk memacakkan Jalur Gemilang di pulau itu, tetapi dihalang oleh kerajaan. Bagi PAS, Pulau Batu Putih adalah hak Malaysia yang mesti dipertahankan, seperti mana hak-hak lain dalam isu hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Persoalan yang penting di sebalik isu Pulau Batu Putih ini ialah mengapa Malaysia begitu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Pulau Batu Putih yang tidak menjana sebarang keuntungan ekonomi dan politik. Sedangkan, Malaysia memandang enteng masalah kedaulatan negara yang bakal terjejas dengan kebebasan pelaburan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Telah banyak pihak yang bercakap soal kedaulatan yang bakal tergadai daripada dasar-dasar longgar di WPI. Singapura dikatakan bakal menguasai wilayah itu. Dalam kata lain, yang dikejar belum tentu dapat, yang dikendung bakal keciciran.

Kita mempunyai sikap yang tegas dalam isu Pulau Batu Putih kerana Singapura cuba meluaskan wilayahnya secara haram, tetapi dalam masa yang sama kita sengaja membuka peluang kepada Singapura meluaskan wilayahnya di satu kawasan yang lebih strategic iaitu WPI. Undang-undang yang digubal oleh kerajaan begitu jelas untuk menjaga kepentingan pelabur Singapura. Kita bimbang jika wilayah Malaysia diperintah secara de facto oleh pelabur Singapura. Kerajaan Malaysia sepatutnya mengambil pengajaran daripada isu Pulau Batu Putih yang dahulunya dibinakan rumah api milik Singapura, kemudian hari ini Singapura mengaku pulau itu hak mereka. Boleh jadi WPI juga bakal mengulangi kesilapan serupa.

Kita juga melihat WPI seolah-olah menjadi alternatif kepada kerja-kerja menambak laut untuk meluaskan wilayah Singapura setelah Malaysia dan Indonesia enggan menjual pasir mereka. WPI sebenarnya akan menjadi wilayah Singapura di Malaysia dengan pemilikan hartanah secara besar-besaran dalam jualan ‘diskaun 50 peratus’ melalui pertukaran mata wang. CEO UEM Land, pemaju Nusajaya dalam Chanel News Asia telah menyatakan bahawa sebahagian besar hartanah industri dan kediaman di Nusajaya telah dibeli oleh pelabur dan syarikat Singapura. Ini merupakan satu kuasa tawar menawar yang kuat ke atas Malaysia.

Free Access Zone (FAZ) yang diwujudkan juga akan memberikan kebebasan kepada orang asing, khususnya Singapura untuk menguasai WPI. Kini, selepas FEZ dibatalkan, rakyat Singapura diberikan keistimewaan smart card untuk memasuki negara ini secara mudah. Sedangkan smart card tidak mempunyai ciri keselamatan dan boleh dipalsukan. Jawatankuasa Khas Bersama Peringkat Menteri WPI yang melibatan Singapura memberi isyarat bahawa kejayaan dan kegagalan WPI akan ditentukan oleh Singapura. Ini kerana hanya Singapura sahaja yang dilibatkan dalam jawatankuasa ini. Sebelum ini kerajaan membatalkan Jambatan Bengkok kerana desakan Singapura sedangkan ia di dalam wilayah kita. Singapura seolah-olah berkuasa menentukan dasar kita, apatah lagi apabila WPI dikuasai oleh mereka.

PAS menolak sebarang sikap yang ‘bertelunjuk lurus, tetapi kelingking berkait’ dalam isu kedaulatan negara ini. Kita nampak Malaysia amat serius untuk mempertahankan Pulau Batu Putih, tetapi menggadai maruah dalam isu WPI. Kerajaan Malaysia tidak boleh bersikap double standard dalam mempertahankan kedaulatan kita. Kerana itu, PAS bukan sekadar mahu melihat Malaysia Berjaya dalam isu Pulau Batu Putih, bahkan isu-isu lain yang tertunggak juga. Isu Jambatan Bengkok, Kompleks CIQ, pencerobohan udara, tanah KTMB di Tanjung Pagar, wang simpanan pekerja dan juga pencerobohan pulau-pulau di kawasan Pontian merupakan isu kedaulatan negara yang mesti diambil berat oleh kerajaan Malaysia, selain isu Pulau Batu Putih. Jangan ditambah lagi dengan kecuaian kita dalam projek WPI, akhirnya satu demi satu wilayah kita tergadai.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Penerangan PAS