
"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran." (Maksud Surah An Nahl: Ayat 90).
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Salam Sejahtera
Yang Amat Berhormat
Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia dan isteri;
Yang Amat Berhormat
Dato' Sri Adnan bin Haji Yaakob
Menteri Besar Pahang; Yang Amat Berhormat
Dato' Seri Haji Idris bin Jusoh
Menteri Besar Terengganu; Yang Amat Berhormat
Dato' Haji Abdul Ghani Othman
Menteri Besar Johor; YB Dato' Seri Mohd. Effendi Norwawi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Yang Berhormat
Menteri-Menteri Kabinet; Yang Berhormat
Ahli-Ahli Parlimen Serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri; Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan-Kerajaan Negeri; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Alhamdulillah. Dengan seizin Allah S.W.T., sekali lagi kita dapat menghirup udara nyaman pada hari ini.ni menandakan betapa kita masih terus dilimpahi nikmat dengan rahmat dan inayah dari-Nya untuk sama-sama menyaksikan pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur bagi Negeri Kelantan. Sesungguhnya pelancaran ini boleh dijadikan titik tolak ujian keikhlasan kedua-dua belah pihak dalam berkongsi anugerah Allah S.W.T. yang dilimpahi-Nya kepada kita semua baik di Kelantan atau negara Malaysia pada amnya yang sama-sama kita kasihi selama ini. Bahkan, ia adalah detik bersejarah yang mengesahkan lagi penerusan wujudnya jalinan kerjasama akrab sekian lama khususnya sejak 17 tahun negeri ini diperintah oleh Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini. Tanpa pertukaran apa-apa, pelan yang bakal dilancar dan dilaksanakan nanti tidak memerlukan apa-apa perubahan nakhoda. Kapal boleh berlayar dengan matlamat yang tidak berganjak yakni memakmurkan bumi Allah dengan segala ikhtiar yang tidak menyalahi syariat Ilahi.
Dalam semangat ini, mewakili Kerajaan dan rakyat Negeri Kelantan, izinkan saya mengalu-alukan kedatangan YAB Dato' Seri Perdana Menteri. YAB Dato’ Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian,
Tugas pemimpin laksana dasar Allah
Ayat Al-Quran yang baru saya baca dalam muqadimmah tadi biasanya dibaca di atas mimbar Jumaat, saya membacanya pada hari ini di atas mimbar masyarakat.


Anyam rotan dibuat timba
Tiada yang indah dalam berkasih
Mimpikan bulan jatuh ke riba Dalam banyak hal, apa yang mustahak ialah pelan yang dapat menghasilkan kenyataan. Siapalah yang tidak bergembira untuk mendengar janji yang akan datang dalam ratusan bilion ringgit. Ini lebih-lebih lagilah apabila janji itu dipenuhi. Sudah banyak kita saksikan betapa janji yang indah kadang-kadang boleh menjadi musuh besar apabila ia gagal dipenuhi. Kebocoran, siling runtuh, rasuah dan pecah amanah, inflasi dan hipokrasi adalah antara musuh-musuh bersama yang boleh menghambat cita-cita murni. Emas hitam anugerah Allah yang dipinggirkan dalam ECER YAB Dato' Seri dan sidang hadirin sekalian, Walaupun cadangan pendaratan gas dan minyak di pesisir pantai kita masih tidak diberi perhatian dalam ECER, saya masihlah memandang kepentingannya sebagai sesuatu yang bersifat mendesak. Pada kami, ia sepatutnya diletakkan sebagai paksi asas dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri. Seperti yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri sejak 10 tahun lalu, kami masih merayu agar gas dan minyak didaratkan di Pantai Senok. Bukan senang deposit emas hitam ini boleh terbentuk. Dengan penuh susah payah Allah S.W.T. telah ratusan jutaan tahun memeram, mengatur dan memprosesnya secara sebab musabab jauh di kerak bumi. Dengan segala percaturan kimia melalui mendapan humus, fosil dan tindak balas haba di perut bumi, Allah S.W.T. telah dengan segala ehsan menyimpan lalu menganugerahkan bumi Kelantan dan laut Kelantan dengan bahan semahal ini. Mensia-siakan nikmat namanya apabila ia seolah-olah dibuat-buat 'terlepas pandang' dan tidak ditimbangkan untuk dimasukkan ke dalam pelan induk pembangunan Wilayah yang sebesar dan sepenting ini. Setakat ini, kami hanya berputih mata melihat khazanah bumi kami dipunggah dan dihirup sepuas-puas oleh golongan amir politik tanpa didaratkan di pantai Kelantan sendiri walaupun sesudu teh. Dalam feqah Islam, telah lama ditulis "hukmul fa il wal khu roji wa rriqaz". Bahkan zakat yang dipungut daripada sesebuah perkampungan tidak boleh dipindah zakat itu ke tempat lain kecuali terlebih dahulu diagih-agihkan kepada al mustahiqiin tempatan. Ini adalah hukum Allah dan Rasul. Tak disempurna di dunia oleh pihak al-umara', ia akan disempurna juga oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak. "Sesungguhnya hari keputusan (hari kiamat) itu adalah waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya." (Surah Ad-Dukhaan: Ayat 40). Untuk menyatakan komitmen Kerajaan Negeri terkini, kita telah meluluskan penubuhan sebuah jeti penghantar (supply base) di Pengkalan Kubur, Tumpat, khusus untuk sokongan kerja penggerudian minyak dan gas di Joint Development Area (JDA) dengan Thailand dan Vietnam, di luar pesisir pantai Kelantan. Kerja pembinaan Jeti tersebut mulai Oktober ini dan ianya akan menjadi pemangkin kepada satu industri yang dapat mengembangkan ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan. Dalam keadaan-keadaan yang seperti inilah, relevannya kita mengetepikan sentimen politik bersifat kepartian. Tidakkah boleh kita menjadikan maudhu' ini sebagai perkara bersama untuk dikongsikan secara pintar bagi tujuan yang sama. Saya masih ingat betapa murninya ketika KUB menandatangani persefahaman ini bagi pihak Pusat dizaman Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996 dahulu. Ini kekal terlipat dalam sejarah; kisah benar sebuah 'pelan indah' yang tidak menjadi hingga sampai ke hari ini. Pembinaan modal insan tidak berjaya kecuali dengan tarbiyah Islam YAB Dato' Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian. Dalam hubungan Kelantan yang telah dikenalpasti sebagai Pusat Pembangunan Modal Insan berteraskan ilmu pula, saya bermohonlah untuk memberikan sedikit peringatan. Mustahil insan itu boleh dibina tanpa agama. Ilmu Al-Quran mengajar kita tentang adanya dua perkara dalam setiap insan itu yakni jasad dan roh. Membina roh insan adalah memberi faham kepada mereka tentang dosa dan pahala, adanya taat dan maksiat, adanya malaikat dan adanya iblis, adanya hisab dan adanya hari pembalasan, adanya Syurga dan adanya Neraka. Ini soal asas yang tiada khilaf. Ini konsep tarbiyyah bawaan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul alaihissalam serta para tabi'in dan wali-wali zaman berzaman. Jika Kelantan mahu diiktiraf sebagai pangkalan terpenting modal insan, maka kita jangan abaikan aspek pembinaan roh. Elemen rasuah, dedah, dadah, belasah dan menolak hukum Allah adalah manifestasi kekacauan fikrah. Betapa kacau bilaunya acuan dan tertib tarbiyyah kita yang telah dirangka oleh negara selama ini. Ikut cara kami bangunkan negara bersama Islam Untuk itu, mari kita cuba menjadi lebih ikhlas dengan cuba sama-sama memperbetulkan keadaan, memikul amanah agama demi memulihkan manusia untuk kembali kepada nilai-nilai fitrah keinsanan sejati selaras dengan prinsip asal 'ubudiyyah' sejak asal kita semua dijadikan.

Buah keranji atas perahu
Singgah tidak kenang pun tidak
Sampai hati buat tak tahu Hanya inilah kali pertama saya diberi kesempatan untuk berucap di majlis yang dihadiri oleh YAB Dato' Seri Perdana Menteri. Apapun jua, syukurlah. Saya mengucapkan Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis pelancaran ini. Dengan nama Allah, saya sudahi dengan Wabillahi taufiq Wal hidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. (TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU DATO' HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT, MENTERI BESAR KELANTAN DI MAJLIS PELANCARAN PEMBANGUNAN WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR (ECER) PADA 17 SYAWAL 1428/29 OKTOBER 2007, JAM 2.30 PETANG DI KOMPLEKS SEKOLAH-SEKOLAH WAKAF MEK ZAINAB, KOTA BHARU, KELANTAN) - mr