SELAMAT DATANG KE BLOG


19.5.08

Dr. Mahathir keluar Umno

berita dari The Star melayu:

PETALING JAYA: Selepas melemparkan kecaman bertubi-tubi terhadap kepimpinan Umno sejak pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar daripada Umno.
Beliau mengumumkan keputusan 'mengejutkan' itu pada satu majlis di Alor Star, Kedah pada pukul 12.35 tengah hari tadi.
Dalam ucapannya, Dr. Mahathir juga menyeru ahli akar umbi supaya keluar parti bagi memberikan tekanan kepada pucuk kepimpinan - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya berundur.
Bekas Menteri Kewangan dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang juga menghadiri majlis tersebut dan dijangka memberikan ucapan menyusul Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir merupakan bekas Perdana Menteri yang ketiga mengumumkan keluar Umno. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Allahyarham Tun Hussein Onn juga pernah keluar parti apabila Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 ekoran krisis Umno 1987-88.
Dr. Mahathir pernah dipecat pada 1969 selepas beliau menulis surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman mengkritik kepimpinannya ekoran pilihan raya umum tahun itu dan Peristiwa 13 Mei.
Beliau diterima semula ke dalam Umno pada 1972 ketika kepimpinan Tun Abdul Razak.
Keputusan itu dumumkan seminggu selepas Dr. Mahathir mengadakan pertemuan tertutup dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.
Ketika dihubungi, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib berkata: "Ia (keputusan itu) adalah hak Dr. Mahathir. Setiap ahli ada hak untuk masuk dan keluar parti."
Ketika ditanya sama ada beliau terkejut dengan tindakan Dr. Mahathir, Muhammad berkata: "Ya, secara peribadi saya terkejut kerana beliau merupakan tokoh terulung parti dan seorang bekas Perdana Menterii."
Sama ada Umno akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu ini, Muhammad menjelaskan, "kita tunggu dulu perkembangan."
Majlis Tertinggi (MT) akan mengadakan mesyuarat dalam masa dua minggu ini.
Pemilihan pucuk kepimpinan dijadual pada Disember ini.
Dr. Mahathir yang menyertai Umno pada 1946 dipilih sebagai Presiden Umno pada tahun 1981.
Beliau berundur daripada kedudukan Perdana Menteri dan Presiden Umno pada Oktober 2003 selepas mengumumkan untuk berbuat demikian pada Perhimpunan Agung Umno 2002.
Sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, beliau mengkritik kepimpinan parti atas persembahan tidak memuaskan Umno dan Barisan Nasional termasuk menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.
Beberapa pihak pernah mengesyorkan supaya Dr. Mahathir dikenakan tindakan disiplin apabila terus-menerus mengkritik kepimpinan parti sejak awal tahun 2005.