SELAMAT DATANG KE BLOG


15.5.08

Kedah sambut baik langkah bendung kenaikan harga beras

ALOR STAR, 14 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri Kedah menyambut baik sebarang langkah membendung kenaikan harga beras.
Bagaimanapun katanya, beliau mahu satu kaedah penyelesaian jangka panjang dicari oleh kerajaan pusat bagi mengatasi masalah tersebut.
"Permintaan terhadap beras masa ini adalah tinggi tapi pembekalnya semakin berkurangan. Jadi, kerajaan pusat kena fikir bagaimana cara nak tambah pengeluaran padi sebab semua rakyat Malaysia makan nasi," katanya.
Tambahnya lagi, usaha menangani kenaikan harga beras sebenarnya masih tidak menyelesaikan masalah bebanan rakyat ekoran kenaikan harga barangan keperluan lain.
Justeru katanya, kerajaan Kedah akan menyokong mana-mana pihak yang mahu mengusahakan tanah terbiar yang mempunyai sistem pengairan, untuk dijadikan kawasan sawah yang baru.
"Masalahnya, sekarang ini kerajaan cuma tak ada duit tetapi dari aspek teknikal perkara ini boleh dibincangkan dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Apapun, jika tanah terbiar itu tidak dapat diusahakan sebagai tanah sawah, kerajaan akan mengambil inisiatif untuk memajukan tanah itu sebagai tanah pertanian seperti menanam jagung, projek ternakan ikan, udang dan sebagainya," kata beliau.
Dalam pada itu, Ustaz Azizan juga memberitahu bahawa kerajaan Kedah tidak akan mengorbankan tanah pertanian terutama sawah padi, semata-mata untuk memberi laluan kepada projek-projek pembangunan fizikal.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri sedang mengkaji semula perancangan pembangunan mengikut zon yang dibuat sebelum perubahan kerajaan selepas pilihanraya umum ke-12 yang lalu.
"Kajian semula itu bermakna perancangan yang dibuat sebelum ini mungkin akan diluluskan dan mungkin juga tidak. Kerajaan negeri menerima banyak rayuan daripada pelabur yang mahukan polisi tidak membangunkan kawasan pertanian dengan projek pembangunan fizikal dikaji semula.
"Kerajaan negeri pada dasarnya tidak menolak pembangunan tetapi sebarang kelulusan bergantung kepada keperluan dan kepentingan serta faedah kepada rakyat," katanya. - mns