SELAMAT DATANG KE BLOG


19.5.08

Dr Mahathir umum keluar Umno

ALOR SETAR, 19 Mei (Hrkh) � Berita terbaru benar-benar mengejutkan apabila mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno dan hanya bersedia kembali ke pangkuan parti itu selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan.
Ini seakan-akan membayangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) bakal tumbang dalam masa terdekat ini selepas kehilangan kuasa majoriti pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Perletakan jawatannya berkuatkuasa serta merta. Bukan sekadar meletak jawatan sebaliknya beliau menyaran ahli-ahli Umno supaya turut berbuat demikian.
Dr Mahathir memberitahu beliau bertindak keluar Umno kerana tidak yakin dengan kepemimpinan Abdullah.
Saya akan hanya kembali semula ke parti tersebut apabila pucuk pimpinan ditukar, katanya sebagaimana dipetik Malaysiakini.com.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap dalam satu forum di Alor Setar pagi tadi.
Dr Mahathir juga menggesa kesemua menteri Umno, timbalan menteri dan semua peringkat pemimpin, supaya bersama dengannya keluar dari parti.
Beliau bertindak keluar parti yang diterajuinya selama 22 tahun, seakan-akan menurut jejak langkah dibuat Perdana Menteri pertama selepas merdeka, Tuanku Abdul Rahman.
Tuanku Abdul Rahman menyertai Semangat 46 selepas Umno diharamkan ekoran kekalutan pada pemilihan merebut jawatan presiden 1987.
Bagaimanapun, Dr Mahathir meminta mereka (pemimpin Umno) supaya jangan menyertai parti-parti yang lain.
"Tunggulah hingga Abdullah letak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden parti, dan kita boleh kembali semula kepada Umno," katanya.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri Malaysia keempat dan memegang jawatan tersebut selama 22 sejak 1981. - mj