SELAMAT DATANG KE BLOG



27.5.08

Kedah jumpa naib juara 2006

KUALA LUMPUR - Buku bertemu ruas menjadi ungkapan tepat dalam menggambarkan pertembungan juara Liga Super 2007-2008 di mana Kedah akan bertembung dengan juara Liga Bahrain, Al Muharraq pada suku akhir bola sepak Piala AFC selepas majlis undian, semalam.
Skuad bimbingan Azraai Khor Abdullah yang menjulang tiga gelaran Liga Malaysia 2006-2007 itu akan bertandang ke perlawanan pertama suku akhir, 16 September ini di Stadium Kebangsaan, Manama - gelanggang Al Muharraq, bekas naib juara Piala AFC 2006.
Malah inilah peluang terbaik Kedah menebus maruah Malaysia yang tercalar dengan kekalahan 4-1 secara agregat kepada Bahrain dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2010 di Manama dan Shah Alam, Oktober tahun lalu.
Majlis undian di Wisma Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil itu turut meletakkan satu lagi wakil Malaysia, Perak dengan lawan yang seimbang, Safa SC Lebanon memandangkan kedua-duanya merupakan muka baru Piala AFC.
Skuad Seladang yang hanya menduduki tempat kelima Liga Super, bagaimanapun akan menjadi tuan rumah lebih awal dalam perlawanan pertama suku akhir di Stadium Perak, Ipoh pada 16 September ini manakala perlawanan kedua, 23 September.
Al Muharraq yang menjuarai Kumpulan A Piala AFC dan dilatih oleh Salman Sharida, memiliki dua pemain Brazil, Nelson De Silva dan Juliano Fernandez serta Jamal Abraror (Maghribi) di samping membariskan lapan pemain kebangsaan Bahrain antaranya pemain tengah, Mahmoud Abdel Rahman dan penyerang, Abdellah Al Dekhil.
"Semua pasukan yang layak ke suku akhir kali ini agak kuat dan tiada lawan yang boleh dianggap mudah. Kedah pun masih sebuah pasukan yang bagus dari Malaysia tetapi kami kali ini mahu menebus kegagalan bergelar juara 2006," kata Pegawai Al Muharraq, Mohamed Abdullah Al Shamlan.
Kedah dan Perak ialah naib juara Kumpulan D dan E Piala AFC - persaingan kelab Asia bahagian dua di belakang Liga Juara-Juara Asia sementara dua juara kumpulan itu, Home United Singapura dan Angkatan Tentera Singapura berdepan Dempo (India) dan Al Nahda (Oman) pada dua lagi suku akhir.